top of page

Berjalan Bersama Tuhan


Shalom! Syukur, Puji Tuhan saya ada kesempatan untuk berkongsi pengalaman yang sangat indah dan luar biasa ini kepada kamu selepas trip misi bulan Mac lalu. Saya sangat bersyukur kerana penyertaan Tuhan yang luar yang tidak henti-henti dalam pelayanan saya sepanjang trip misi ini. Saya juga sangat berterima kasih kepada jemaat gereja dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan pelayanan misi ini. Berkat semua itu, segala perancangan trip misi berjalan dengan lancar sesuai dengan kehendak Tuhan.


Saya yakin bukan saya sahaja yang merasakan beban dan dipenuhi keraguan sebelum trip misi ini bermula. Saya sering sekali tertanya-tanya, sama ada saya betul-betul mahu mengikuti trip misi ini sebab banyak persediaan yang harus dipertimbangkan. Saya bukan meragukan iman saya tapi saya meragukan diri sendiri, sama ada saya mampu atau tidak melalui misi trip ini dari awal sehingga habis dengan jayanya. Contohnya, saya risau dengan kemampuan diri ini untuk mengajar peserta OAMT berkaitan dengan topik yang sudah diberikan kepada saya. Bukan sebab saya tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai tetapi saya risau dengan penerimaan setiap individu. Adakah mereka betul-betul faham dengan topik yang akan saya ajar nanti? Puji Tuhan, berkat dorongan dan bantuan senior, saya dapat mengajar mereka baik. Selain itu, saya juga meragukan tanggungjawab saya sebagai Bendahari untuk program ini kerana saya perlu menganggarkan bajet yang diperlukan sepanjang trip misi. Jika saya tersilap menganggar, pasti semua tim trip misi akan terjejas dalam aspek perbelanjaan nanti. Tetapi kamu mahu tahu sesuatu? Bapa kita sangat kaya dan pemurah! Segala perbelanjaan kami sepanjang trip misi sangat mencukupi malah lebih. Saya sangat bersyukur kerana Tuhan menghantar mentor yang mantap dalam menguruskan kewangan kami.


Walaupun tanggungjawab tersebut sudah sangat membebankan fikiran saya tapi saya sangat berterima kasih kepada Tuhan sebab segala kerisauan tersebut tidak diletakkan 100% ke atas bahu saya. Tuhan itu Maha Pengasih dan Memahami. Dia tidak akan membiarkan kita berjalan keseorangan dalam keraguan dan masalah yang kita hadapi tetapi Dia berjanji bahawa Dia sentiasa menyertai kita dalam setiap langkah yang kita ambil. Oleh sebab itulah saya mengatakan bahawa perjalanan bersama Tuhan itu sangat indah dan berbaloi walau seberat apapun beban itu.


Ada satu lagi perkara yang ingin saya kongsikan kepada kamu iaitu pengalaman penjangkauan dan penginjilan OA saya di kampung sana. Pada awalnya, saya risau bagaimana saya akan berkomunikasi dengan mereka. Saya juga risau dengan pemahaman mereka terdapat Injil yang akan saya kongsikan kepada mereka. Untuk penginjilan yang pertama dengan OA, saya sangat berhati-hati dengan pemilihan kata-kata saya kerana saya risau mereka tidak akan faham. Dari situ saya belajar sesuatu yang penting iaitu bukan saya bertanggungjawab untuk pemahaman dan penerimaan dia tetapi Roh Kudus. Ya, Roh Kudus! Saya mula sedar bahawa saya hanyalah alat yang dipakai oleh Tuhan untuk menyampaikan Berita Baik dan yang selebihnya pula pekerjaan Tuhan. Bermula dari situ saya belajar bahawa saya tidak bersendirian dalam pekerjaan Tuhan itu tetapi Tuhan sentiasa menyertai saya. Trip misi mengajar saya bahawa Tuhan tidak memilih orang yang sempurna untuk mengerjakan pelayanan Dia tetapi Dia melihat hati kita iaitu adakah kita betul-betul melakukan sesuatu itu untuk memuliakan Dia atau untuk kepentingan diri sendiri atau menjadi hebat di mata orang.


Campur tangan Tuhan sentiasa saya rasakan sepanjang penginjilan kami kerana segala keraguan dan ketidakpastian saya dan tim saya sentiasa diselesaikan. Apa yang kita perlu buat ialah hanyalah satu iatu percaya dengan iman bahawa Tuhan sentiasa bersama-sama dengan kita. Tidak kira seberapa mustahil perkara yang kita lakukan di mata manusia, tetapi yang mustahil itu tidak akan menghentikan pekerjaan Tuhan jika kita melakukannya untuk kemuliaan Dia.


Akhir sekali, saya sangat mengucap syukur kerana penyertaan Tuhan yang luar biasa dan pertolongan Dia yang sentiasa mengalir dan berkat yang sentiasa lebih dalam pelayanan saya sepanjang OAMT ini. Saya belajar bahawa Tuhan sangat mengasihi dan menyayangi setiap manusia di bumi tanpa mengira latar belakang mereka. Melalui trip misi ini, saya sangat jelas dengan sesuatu perkara itu Tuhan sangat mahu kita semua mengenal dan menerima Dia sebagai Juruselamat sehingga tiada sesuatu pun yang dapat menghalang kita dalam melakukan pekerjaan Dia iaitu memberita Injil untuk semua manusia. Sekiranya kamu masih meragui iman kamu terhadap Tuhan Yesus, ingatlah bahawa Tuhan sangat mengasihi kita sebagai anakNya yang berharga dan Dia tidak akan meninggalkan kita sesekalipun. Biarlah hidup kita hanya untuk memuliakan Tuhan dan menjadi berkat untuk orang lain kerana tiada satupun yang akan merugikan kamu. Biarlah hidup kita terang dan garam seperti yang difirmankan Tuhan. Amen!

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page