top of page

'Di Tengah Ketidakpastian'



Shalom semua!


Kenapa “Di Tengah Ketidakpastian”? Jujur dalam OAMT kali ini cabaran terbesar saya adalah berkenaan dengan ketidakpastian dalam pelayanan. Sebagai Team Leader, sebelum setiap rombongan masuk ke kampung yang dipilih, kami sepatutnya membuat tinjauan di kampung tersebut terlebih dahulu. Sangat disayangkan disebabkan oleh faktor cuaca dan jalan yang kurang baik membuatkan kampung yang sepatutnya menjadi tempat rombongan saya layani tidak dapat dikunjungi ketika itu. Ini merupakan faktor utama kepada ketidakpastian yang saya alami.


Sepanjang persiapan OAMT, sukar untuk saya membuat perancangan kumpulan dan jujur ini membuatkan saya mulai risau. Dengan hanya 5 orang, ditambah dengan kampung yang tidak pernah dikunjungi membuatkan persoalan “Apa yang boleh kami buat Tuhan?” selalu bermain di minda saya. Persoalan ini lama kelamaan mengganggu tumpuan saya. Walaubagaimanapun saya tidak menganggap ini sebagai sebuah beban tapi sebuah tanggungjawab yang harus dipikul. Puji Tuhan ketidakpastian yang saya alami membuatkan saya belajar lebih mengandalkan Tuhan daripada mengandalkan keupayaan saya sendiri. Siapa sangkah dengan ayat “buat simple saja Ken” berjaya mengubah cara pandang saya terhadap pelayanan ini. Ingat Daud, seorang pemuda yang berjaya mengalahkan Goliat hanya dengan lastik. Sebenarnya ianya bukan tentang apa yang Daud gunakan ketika itu tetapi ianya tentang dengan siapa Daud melangkah maju untuk berhadapan dengan Goliat. Dalam 1 Samuel 17:45, Daud berjaya mengalahkan Goliat sebab Tuhan semesta alam menyertai dia, Daud berani maju kerana Tuhan. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menyerahkan semua ketidakpastian yang saya alami ke dalam tangan Tuhan dan percaya Penuh kepada penyertaan Tuhan. Pilihan yang saya buat membuatkan saya melihat pekerjaan Tuhan yang luar biasa berlaku sepanjang pelayanan ini.


Saya memanggil kumpulan kami dengan panggilan 5 roti disebabkan oleh bilangan kami yang sedikit. Walaupun hanya 5 orang tetapi saya melihat pekerjaan Tuhan melalui kumpulan yang kecil ini. Dari segi jumlah memang sukar untuk melayani sebuah kampung yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai. Bagaimana mungkin 5 orang ini mampu mengongsikan kasih Tuhan kepada penduduk yang ramai seperti ini. Perkara ini sempat membuatkan saya berkata “kan bagus kalau kami mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai”. Tapi rencana Tuhan sebaliknya, walaupun hanya 5 orang tetapi Tuhan memakai bilangan yang sedikit ini menjadi berkat kepada penduduk kampung yang berlipat kali ganda lebih ramai dari kami. Secara peribadi ini merupakan pengalaman yang luar biasa di mana Tuhan memakai kami untuk memberitakan injil dan menjadi berkat kepada orang asli.


Pengalaman yang tidak boleh saya lupakan ketika mengunjungi sebuah rumah sepasang suami isteri, pada mulanya perbualan antara kami tampak baik-baik saja sehinggalah pada saat saya mulai bertanya adakah pak cik mahu mengikut Yesus? Saya melihat pak cik berkenaan ingin menganggukkan kepala tapi dalam masa yang sama saya melihat ada keraguan dari riak wajahnya. Pak cik berkenaan merasa keadaan hidupnya yang serba kekurangan membuatkannya tidak layak untuk menerima Yesus. Jujur sukar untuk saya melanjutkan perbualan kerana bagi saya untuk meresponi keadaan ketika itu sahaja adalah hal yang sulit. Pernahkah anda mendengar bahwa Tuhan menyediakan apa yang kamu perlukan? Ketika itu saya bukan sahaja melihat ini berlaku tetapi juga mengalami penyediaan Tuhan iaitu Tuhan menyediakan kata-kata yang harus saya perkatakan. Tuhan memakai anak muda ini untuk menyakinkan pak cik berkenaan bahawa bagi Tuhan, Tuhan tidak melihat apa yang ada pada kita tetapi Tuhan menerima kita kerana kasih-Nya buktinya Dia memilih untuk disiksa dan mati di kayu salib untuk menebus kita semasa kita masih berdosa. Puji Tuhan! pada akhirnya sepasang suami isteri ini membuat keputusan untuk menerima Yesus sebagai Tuhan dan juruselamat mereka.


Tuhan sangat luar biasa. Pekerjaan Tuhan tidak dapat dibatasi dengan ketidakpastian yang kita alami. Tuhan mengubah ketidakpastian yang saya alami kepada keyakinan yang membuatkan iman percaya saya semakin diteguhkan. Mungkin kami hanyalah 5 roti tapi pada saat kami memilih untuk menyerahkan setiap kekurangan yang kami miliki saat itu pelipatgadaan terjadi. Iya! memang bukan jumlah kami yang bertambah tapi siapa sangkah melalui 5 roti ini Tuhan pakai untuk memberkati jumlah penduduk yang jauh lebih ramai berbanding dengan jumlah kami yang sebenar. Apapun ketidakpastian yang sedang kamu alami serahkanlah semua itu kepada Tuhan. Kamu tidak akan dapat bayangkan pekerjaan Tuhan yang luar biasa dalam hidupmu tetapi melalui penyertaan Tuhan kamu mampu mengalaminya secara pribadi sehingga kamu akan berkata “Haleluya! That’s My God”.

Recent Posts

See All

Comentários


bottom of page