top of page

Go With Him


Shalom! Segala pujian syukur dan kemuliaan buat Tuhan kita Tuhan Yesus Kristus.


Perkara yang mustahil bagi anak manusia, tetapi tidak ada yang mustahil bagiNya. Ya, itulah Next Gen: Regeneration 2022. Saya yakin dan percaya kejayaan pelaksanaan Next Gen ini adalah kerana penyertaan Tuhan kita sepanjang perancangan dan pelaksanaan projek ini.


Pemilihan saya sebagai salah seorang pengarah projek dalam pelayanan Next Gen ini sememangnya memberi saya semangat yang membara untuk melayani generasi muda di negeri Sabah.


Namun begitu, sebagai seorang hamba Tuhan yang lemah, sejujurnya terdapat banyak pergumulan dan halangan yang saya alami sepanjang perancangan dan pelaksanaan projek ini. Saya bersama pemimpin yang lain sentiasa membuat perjumpaan untuk berbincang dan merancang projek ini. Kami merancang dan terus merancang, namun terdapat pelbagai ketidakpastian dalam perancangan ini. Di mana kami akan laksanakan projek ini? Bagaimana kami akan melaksanakannya? Persoalan dan ketidakpastian tersebut merupakan antara pergumulan yang saya alami sebagai seorang pemimpin. Pergumulan yang berterusan ini membuatkan timbul keraguan yang membuatkan saya hampir menyerah. Namun begitu, di saat saya hampir menyerah Tuhan menyatakan kesetiaan dan penyertaan-Nya melalui satu pesanan iaitu jangan menyerah dulu. Saya percaya inilah yang ingin Tuhan sampaikan kepada saya dan pesanan ini disampaikan Tuhan melalui khotbah seorang Pastor di gereja yang saya pergi di Pulau Pinang. Pada masa yang sama, Tuhan juga berbicara agar serahkan segala pergumulan kepadaNya dan saya percaya semua ini adalah pekerjaan Tuhan yang sungguh luar biasa!


Tempat atau kawasan yang kami layani sepanjang Next Gen ini sejujurnya bukanlah tempat yang kami senaraikan semasa perancangan kami. Malahan semasa saya dapat tahu bahawa kami akan melayani di kawasan tersebut, timbul persoalan dalam diri saya. Mengapa kawasan ini Tuhan? Kenapa bukan di kawasan yang ada dalam perancangan kami? Begitu banyak persoalan dan keraguan. Persoalan-persoalan ini terjawab setelah kami pergi dan melayani di kawasan tersebut.


Ternyata Tuhan lebih tahu akan keperluan anak-anak muda dan masyarakat di kawasan itu. Melalui pelayanan di kawasan inilah mengajar saya bahawa Tuhan sentiasa menyediakan rencana yang indah buat kita. Saya sangat bersyukur akan kesempatan untuk melayani anak-anak muda dan masyarakat daripada pelbagai lapisan di kawasan ini, dan terlebih daripada itu saya sangat bersyukur akan penyertaan dan kasih Tuhan sepanjang kami berada di sana.


11 hari yang sukar untuk dilupakan sepanjang kami berada di kawasan tersebut. Saya percaya setiap crew dan komuniti yang terlibat mengalami penerobosan sesuai dengan kehendakNya. Selain itu, saya sangat kagum dengan kesatuan, kerjasama dan hubungan erat yang terjalin sepanjang berada di sana. Saya juga percaya semua ini terjadi kerana Tuhan yang sentiasa memimpin dan memberikan kami damai sejahtera serta sukacita walau apapun rintangan yang kami hadapi sepanjang melayani di kawasan tersebut. Oleh itu, sentiasa andalkan Tuhan dalam segala hal dan Dia akan memberi kekuatan, hikmat dan sukacita dalam apapun pelayanan yang anda.


Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat individu-individu yang telah membantu dan menyokong kami sama ada dalam berkat dana dan doa. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat masyarakat di kawasan yang kami layani kerana menerima kami dengan sukacita dan memberkati kami sepanjang pelayanan kami di kawasan tersebut. Tanpa iman dan sokongan doa anda sememangnya mustahil untuk menjayakan projek ini. Berkat Tuhan terus berkelimpahan buat anda!!!


Sebagai kesimpulan, segala pujian kemuliaan buat Tuhan atas kemenangan yang terjadi di kawasan tersebut. Dalam segala hal yang anda perbuat, lakukanlah untuk Tuhan dan bersama Dia. Di manapun anda berada, biarlah anda terus menjadi terang yang bersinar bagiNya kerana Tuhan-lah terang dan penerang hidup kita. Akhir kata, biarlah kakimu terus berjalan, tanganmu terus bekerja dan mulutmu terus bersaksi akan kasih, pengharapan dan kemuliaan Tuhan.


Jumpa anda di Next Gen yang akan datang! Ayamak Next Gen Go!!! Tuhan memberkati kita semua.


----Dyndoy

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page