top of page

Hanya dengan Kasih Karunia Tuhan


Segala puji syukur hanya bagi nama Tuhan atas kesempatan untuk menulis dalam ruangan ini dan bersaksi tentang kebaikan dan kesetiaan Tuhan dalam pelayanan CLC USM. Saya mengenali CLC semasa belajar di USM dan Tuhan memakai CLC menjadi berkat bagi saya dimana melalui pelayanan ini saya mengenal dan memulai hubungan saya bersama Tuhan bermula Jun, 2016. Bersama CLC, Tuhan membawa saya lebih intim dalam pengenalan akan Kristus, belajar mendalami firman Tuhan bahkan diberi peluang untuk berkongsi injil Kristus dan bersaksi tentang pekerjaan Tuhan dalam hidup saya secara peribadi.

Menyaksikan bagaimana Tuhan telah mengembangkan pelayanan CLC USM, membuat saya yakin dan percaya bahawa Tuhan itu nyata dan Tuhan lah yang memberi pertumbuhan rohani kepada setiap peribadi bahkan kepada perlayanan ini secara keseluruhan. Masih saya ingat doa yang seringkali kami bawa kepada Tuhan dengan iman untuk kampus USM dengan menghantar pelajar yang taat akan Tuhan dan ada kesudian untuk melayani di kampus ini. Puji Tuhan, melalui senior-senior yang sebelumnya, Tuhan memberi mereka visi dan beban untuk berdoa serta melihat keperluan untuk menjangkau lebih ramai pelajar USM dan luar USM bagi Tuhan. Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya ada kumpulan pelajar Kristian yang matang dan mahu dipakai Tuhan untuk mengerjakan visi dan hati Tuhan ini. Dan nyata Tuhan itu sungguh baik! Pada Sept 2017, Tuhan menghantar sekumpulan pelajar yang menepati apa yang telah didoakan bahkan juga sangat berapi-api untuk menyampaikan injil Tuhan kepada orang lain.

Secara peribadi, Tuhan juga menguatkan hati saya bahawa masih ada harapan di kampus ini. Tuhan pasti dan telahpun membangkitkan pelajar yang sudi untuk menjadi alat yang dipakai Tuhan untuk memberitakan nama-Nya di USM bahkan juga di kampus-kampus lain. Nyata doa, iman serta pengharapan dalam Tuhan tidak akan sia-sia. Saya bersyukur kepada Tuhan atas kesempatan yang Dia berikan untuk saya dapat melabur dalam pekerjaan-Nya dalam perlayanan di USM serta bahagian utara secara keseluruhan. Pada hari ini apabila saya melihat pertumbuhan yang berlaku di bahagian utara, tiada satu pun yang dapat saya ucapkan melainkan pujian dan kemuliaan bagi nama Tuhan. Tuhan itu baik dan bahawasanya untuk selama-lamanya kasih setia-Nya.

Dalam kesempatan ini, saya juga berdoa untuk setiap yang membaca kesaksian dalam majalah ini, pandanglah sekelilingmu, lihatlah apa yang berlaku dan orang-orang yang menunggu untuk dipulihkan oleh Tuhan tidak kira dari segi fizikal, mental dan lebih lagi rohani. Adakah kamu tahu bahawa Tuhan juga mencari dan menyelamatkan yang hilang? (Lukas 19:10) Gunakanlah sebaiknya waktumu selama di kampus ini untuk bertumbuh teguh di dalam Tuhan, sudi dan berani untuk membawa injil damai sejahtera Tuhan kepada kawan-kawan dan keluarga kamu. Setiap kamu adalah jawapan doa oleh senior-senior yang sebelum kamu dan lebih utama lagi kamu adalah pilihan Tuhan untuk kampus ini. Oleh itu, mengucap syukurlah kepada Tuhan kerana peribadi-Nya dan apa yang Dia telah dan akan lakukan di USM dan seluruhnya bahagian utara. Segala kemuliaan bagi Tuhan!


— Lenny Lang

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page