top of page

HIDUP INI ADALAH KESEMPATAN



Shalom dan hai semua! Saya sangat bersukacita kerana sekali lagi saya diberikan suatu peluang untuk berkongsi tentang kesaksian saya secara peribadi sepanjang pelayanan NG2023. Memandangkan pelayanan NG2023 ini merupakan pelayanan NG saya yang terakhir sebagai pelajar kampus jadi pelayanan ini sangat bermakna kepada diri saya secara peribadi dan saya sendiri mengalami peneguhan iman melalui pelayanan ini. Sudah menjadi suatu kemestian setiap pelajar kampus akan mengakhiri zaman universiti mereka dan mengalami transisi hidup yang jauh berbeza dengan dunia belajar. Walau bagaimanapun, melalui pelayanan ini saya diperingatkan kembali bahawa berkongsi akan Berita Keselamatan kepada orang ramai merupakan peranan bagi setiap orang percaya dan tidak hanya dilakukan pada waktu terluang tetapi harus menjadi gaya hidup. Saya diperingatkan kembali oleh Tuhan untuk melihat tujuan sebenar hidup ini iaitu hidup untuk menyenangkan hati Tuhan dalam segala aspek kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana, sering kali manusia akan terganggu fokus dengan banyak hal duniawi sehingga melupakan tujuan sebenar yang telah Tuhan berikan sehingga mensia-siakan waktu yang sangat singkat dengan perkara yang tidak mendatangkan kemuliaan bagi Allah. Malah saya telah ditegur berdasarkan ayat Firman Tuhan dalam Roma 10:12-15 yang menyatakan bahawa bagaimana orang lain dapat beriman kepada Tuhan jika mereka tidak pernah mendengar siapa Tuhan. Perkataan ‘mendengar’ di sini berbicara tentang suatu tindakan iaitu seseorang mendengar perkhabaran daripada individu lain. Oleh itu, kita sebagai orang percaya harus selalu mengambil kesempatan untuk mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain di mana sahaja kita berada. Mungkin ada di antara kita berfikir bahawa kita mahu turut sama melayani tetapi kekangan pekerjaan dan sebagainya menyebabkan kita tidak dapat turun ke ladang-Nya Tuhan. Namun, sebenarnya kita boleh melayani melalui pelayanan berkat dana dan hal ini sangat penting bagi meluaskan lagi Kerajaan Tuhan di dunia.

Oleh hal yang demikian, saya ingin mengambil suatu kesempatan untuk mengucap syukur kepada peribadi-peribadi yang telah bersama-sama melayani melalui berkat dana. Akhir kata, jangan mensia-siakan hidup kita dan berusahalah untuk memperkenalkan orang ramai kepada Yesus Kristus kerana sebenarnya ramai jiwa-jiwa di luar sana yang haus akan kasih Tuhan. Seperti mana kita telah mengalami kasih Tuhan maka orang di luar sana yang mungkin ahli keluarga, rakan-rakan, saudara-mara atau sesiapa sahaja juga perlu mengalami kasih Tuhan melalui perkhabaran Berita Baik. Sekian, itu sahaja perkongsian daripada saya semoga kamu yang membacanya diberkati. Terima kasih.


Recent Posts

See All

Коментарі


bottom of page