top of page

I Surrender All


Shalom dan salam damai bagi kita semua. Terlebih dahulu saya ingin mengucap syukur kepada Tuhan atas kasih dan kebaikan-Nya dalam hidup saya. Saya juga ingin mengucap syukur kerana diberikan suatu kesempatan untuk berkongsi akan kasih karunia Tuhan dalam hidup saya. Berdasarkan tajuk perkongsian maka saya akan lebih banyak berkongsi tentang emosi iaitu cara saya sebagai seorang pelajar yang mengenal Tuhan mengurus emosi saya ketika dalam pergumulan dan persoalan hidup.

Sebagai seorang manusia sememangnya emosi tidak pernah hilang dalam diri kita bahkan ketika menghadapi pelbagai permasalahan dan konflik dalam hidup emosi juga boleh menjadi penghalang terbesar untuk saya merasakan damai dan sukacita daripada Tuhan. Saya percaya setiap keluarga mempunyai permasalahannya sendiri dan bagi saya masalah keluarga adalah perkara yang saya perlu lalui sejak saya mulai mengenal erti ‘masalah keluarga’, ‘pertengkaran dan pergaduhan antara adik-beradik’, ‘tangis air mata seorang ibu’ seawal usia 10 tahun.

Pada semester yang lepas saya tinggal bersama dengan keluarga saya di kampung dan saya perlu menghabiskan semester itu dengan keadaan keluarga yang ‘luar biasa’. Tekanan datang silih berganti sehingga pada satu titik saya berkata kepada Tuhan ‘ambil saya Tuhan kerana saya sudah tidak sanggup menghadapi semua ini. Saya tidak sanggup untuk melihat kekecewaan, kehancuran keluarga saya.’ Semester yang lepas saya harus berhadapan dengan kerja sekolah dengan ‘emosi’ yang kurang stabil akibat masalah keluarga, masalah peribadi, masalah sekolah dan semua ini hampir membuatkan saya ‘kehilangan identiti diri’ sebagai anak Tuhan.

Namun saya memilih untuk berseru dan berserah sepenuhnya kepada Tuhan Walaupun sebenarnya hati saya sudah hancur namun kasih Tuhan memulihkan semuanya.

Tuhan itu sangat baik dan Dia tidak pernah biarkan saya sendiri malah Tuhan membawa orang-orang yang dapat menguatkan dan meneguhkan saya lewat sokongan doa dan keprihatinan mereka. Sebagai seorang anak saya tidak dapat memilih siapa ibu bapa saya ketika dilahirkan ke dunia ini. Saya tidak boleh memilih ahli keluarga yang saya inginkan tetapi saya boleh memilih siapa Juruselamat dalam hidup saya dan itu bukan kerana hasil usaha saya tetapi kerana anugerah Tuhan di dalam hidup saya. Tanpa Tuhan saya tidak akan ada lagi di dunia ini dan saya bersyukur kerana memiliki Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat dalam hidup saya kerana dengan itu saya dapat mengetahui dan mengalami kasih dan rancangan Tuhan untuk hidup saya.


—Suzianah Steven

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page