top of page

Jadilah Berimpak


Shalom. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk kongsikan kesaksian saya setelah menyertai trip Next Gen baru-baru ini yang berlangsung selama 11 hari. Terdapat banyak pekerjaan Tuhan yang luar biasa terjadi pada saya sejak dari awal, pertengahan hingga berakhirnya trip tersebut.


Pertama sekali, trip ini merupakan trip pelayanan saya yang kedua. Menurut saya, setiap trip yang saya sertai sememangnya mempunyai pengalaman yang berbeza dan pertumbuhan rohani sekaligus membawa perubahan dari segi tingkah laku dan kepercayaan.


Trip yang kali ini telah memberikan sebuah pengalaman yang sangat luar biasa dan saya percaya penyertaan Tuhan Yesus telah menjadikan semua perancangan dari mula hingga akhir berjalan dengan lancar. Pekerjaan Tuhan bermula apabila saya terpanggil untuk mengikut trip ini setelah melihat hebahan berkaitan dengan trip ini. Sejujurnya, ada juga terselit kemahuan sendiri di mana saya merasakan ini peluang untuk saya pergi melancong ke negeri orang lain namun apa salahnya jika melancong sambil melayani umat-umat di sana. Saya berasa sangat diberkati apabilia dana yang saya fikirkan mustahil untuk saya kumpul lebih-lebih lagi perbelanjaan menyertai trip pelayanan kali ini agak tinggi berbanding trip sebelumnya.


Syukur puji Tuhan, saya dikelilingi oleh insan-insan yang murah hati seperti orang tua saya dan seniors CLC yang lain yang telah menyumbang dana dan bukan sahaja keperluan dana saya dipenuhi malah keperluan dana adik saya juga dipenuhi. Sebelum itu, saya juga bimbang akan masalah kewangan untuk adik saya kerana pada saat akhir saya mengajak dia untuk menyertai namun saya berdoa meminta kepada Tuhan untuk campur tangan dalam perkara ini dan puji Tuhan ia lebih dari cukup.


Trip kali ini, saya ditugaskan bersama dua orang rakan saya iaitu, Carol dan Pristy untuk menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan pendaftaran dan saya juga menjadi pengajar bagi satu slot yang berkaitan dengan pengurusan konflik. Tanggungjawab menjadi pengajar bukan perkara mudah apatah lagi ini merupakan kali pertama saya mengajar topik yang sebenarnya agak sukar untuk dijelaskan.


Namun begitu, puji Tuhan sekali lagi, maklum balas daripada crews dan juga Brother Calvin agak memberansangkan yang paling penting maklumat yang disampaikan memberikan input yang baik kepada pendengar. Setelah selesai 3 hari untuk bahagian Pra Next Gen, semua crew perlu berpisah sementara untuk mengunjungi beberapa kampung dalam misi memberitakan khabar baik kepada umat-umat yang ada di sana.


Saya dan kumpulan saya berpeluang untuk melawat sebuah keluarga yang mempunyai kerinduan untuk ke gereja tetapi terbatas sejak negara dilanda oleh pandemik Covid-19. Masalah kesihatan yang semakin melarat juga menjadi satu halangan untuk mereka pergi ke gereja pada hari Ahad. Penerimaan keluarga ini terhadap kedatangan kami dapat kami lihat apabila mereka sudi memberikan masa untuk mendengar perkongsian kami dan berkongsi serba sedikit pengumulan yang mereka alami. Meskipun sempat menemukan satu keluarga pada ketika itu, tetapi ia satu berkat bagi saya kerana kehadiran kami menyedarkan keluarga itu bahawa Tuhan tetap mengasihi dan menerima kedatangan mereka pada bila-bila masa sahaja.


Seterusnya, saya juga melihat kerinduaan anak-anak muda di sana untuk bersekutu bersama umat gereja apabila ramai yang menyertai Next Gen: Regeneration. Terdapat beberapa orang anak muda menceritakan pengumulan mereka kepada saya dan terdapat juga yang memberitahu behawa mereka sudah lama menginginkan kedatangan rombongan seperti rombongan kami ke kampung mereka. Secara pribadi, trip ini membuatkan saya tahu bahawa ramai anak muda dan golongan dewasa di situ mempunyai kerinduaan untuk bersekutu dan melayani di gereja seperti sedia kala sebelum terjadinya pandemik. Bukan itu sahaja, saya juga menjadi lebih mengenali diri saya sendiri sepanjang proses melayani di sana.


-Eming-

Recent Posts

See All

댓글


bottom of page