top of page

Kamu Tidak Bersendirian


Shalom, pertama sekali saya ingin mengucap syukur kepada Tuhan atas kebaikanNya dalam hidup saya yang tidak pernah putus-putus. Pada awalnya saya memang tidak terfikir untuk menyertai Next Gen 2022. Ramai senior yang approach dan ajak saya untuk menyertai sekali tetapi saya ragu-ragu untuk join kerana rakan-rakan rapat saya tidak dapat menyertai sekali. Tetapi dalam masa yang sama saya rindu untuk melayani Tuhan dan saya rindu untuk dipakai oleh Tuhan. Saya juga berasa ragu-ragu untuk menyertai Next Gen sebab pada ketika itu saya baru first year dan saya juga belum berkesempatan untuk menyertai mana-mana trip sebegini sepanjang belajar di USM.


Jadi, saya risau apa yang harus saya lakukan nanti dan banyak lagi perkara yang saya risaukan. Selepas berfikir panjang dan serahkan dalam doa, saya berfikir tujuan saya hidup ini adalah untuk Tuhan dan saya juga terfikir bila lagi saya mahu ambil peluang untuk join Next Gen kalau bukan kali ini. Di samping membantu anak-anak muda, saya juga ingin terus bertumbuh dalam Kristus. Jadi saya mengambil keputusan untuk menyertai Next Gen walaupun tanpa rakan-rakan rapat saya.


Saya juga sempat menghadapi beberapa cabaran sebelum berangkat ke Sabah dan hampir-hampir untuk menarik diri. Puji Tuhan, Tuhan itu baik dan Dia permudahkan segala urusan saya beberapa hari sebelum berangkat ke Sabah. Saya sangat bersyukur dan sukacita kerana masih berkesempatan untuk menyertai Next Gen. Sejujurnya saya seorang yang tidak mempunyai keyakinan dalam melakukan sesuatu perkara termasuklah dalam berkomunikasi. Tetapi melalui Next Gen ini saya belajar banyak perkara dan cuba untuk keluar dari zon selesa saya. Banyak perkara telah saya pelajari sepanjang latihan pemimpin sehingga hari terakhir Next Gen. Antaranya, menjadi Pemimpin yang Berlipatganda dan Kenalilah Anak Buah.


Antara pengalaman yang saya tidak dapat dilupakan ialah semasa malam pengutusan, saya mengetuai sesi ice breaking. Sebelum itu, saya sudah diberitahu untuk bersedia jadi saya fikir games telah disediakan dan saya hanya tolong menyampaikan sahaja tetapi apabila saya dipanggil ke hadapan saya bingung mahu memimpin mereka kerana saya belum memikirkan apa-apa games yang ingin dilakukan. Dalam hati, saya hanya mampu meminta pertolongan daripada Tuhan untuk berkata-kata. Apabila saya berdiri di hadapan menghadap rakan-rakan saya, Puji Tuhan banyak idea yang mencurah-curah dalam fikiran saya dan saya dapat mengendali sesi ice breaking. Saya bersyukur kerana Tuhan telah memberikan saya hikmat dan pimpin saya walaupun ketika itu saya risau dan panik. Setelah merenungkan kembali pengalaman itu saya yakin bahawa Tuhan tidak akan biarkan saya sendiri menghadapi cabaran yang mendatang kerana Dia akan selalu ada bersama saya.


Selain itu, saya juga sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan rakan-rakan yang selalu mendorong dan membantu saya dalam segala hal. Walaupun saya banyak kekurangan, mereka banyak membantu saya terutamanya dalam Creative Ministry. Ramai rakan dan seniors yang membantu mengajar saya. Mula-mula saya agak risau dan tidak yakin kerana banyak corak tarian yang baru saya belajar tetapi dengan bantuan daripada rakan-rakan dan hikmat daripada Tuhan saya menjadi lebih yakin dan bersemangat untuk belajar setiap pattern tersebut. Begitu juga sepanjang kami memberitakan kasih Tuhan dengan masyarakat di kampong yang dikunjungi. Kami dibahagikan dalam beberapa kumpulan dan pergi dari rumah ke rumah yang lain. Saya dapat lihat bahawa kami saling mendorong antara satu sama lain terutamanya senior-senior. Saya berasa selesa dan bersyukur kerana mereka sangat mengambil berat terhadap satu sama lain. Tanpa mereka saya juga tidak dapat melangkah sendiri. Sangat penting ada orang disekeliling kita yang sentiasa mendorong dan membantu kita.


Satu lagi perkara yang tidak pernah saya terfikir ialah saya akan menjadi rapat dan tidak lagi malu apabila bersama rakan-rakan CLC. Hal ini kerana selama ini ramai rakan yang sekampus dengan saya yang tidak pernah saya tegur dan sapa disebabkan perasaan malu, tetapi melalui Next Gen ini kami menjadi lebih dekat dan kami dapat mengenal sesama sendiri. Kini, saya dapat mengenali setiap peribadi anak-anak Tuhan yang baik dan prihatin terhadap satu sama lain. Saya juga bersyukur kerana dapat mengenali rakan-rakan baru semasa Next Gen. Ramai rakan baru yang datang dari pelbagai tempat saya dapat kenali sepanjang Next Gen. Saya melihat mereka begitu semangat untuk melayani Tuhan walaupun masih muda dan sudah bekerja. Saya juga turut terdorong untuk menjadi lebih semangat untuk melayani Tuhan. Saya yakin pertemuan saya dengan mereka bukan satu kebetulan. Saya sudah merasakan kami bukan setakat rakan tetapi sudah seperti satu keluarga. Melalui Next Gen saya menjadi lebih yakin dan percaya bahawa Tuhan tidak akan membiarkan saya berjalan sendiri kerana Dia telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan seiman yang akan sentiasa membantu dan membimbing saya. Begitu juga dengan semua orang percaya. Kita tidak akan berjalan bersendirian kerana Tuhan akan sentiasa ada dengan kita dan pimpin setiap langkah kita serta Dia akan mempertemukan kita dengan rakan seiman yang akan siap membantu kita.


Pada masa hadapan saya juga ingin mendorong junior-junior lain untuk keluar dari zon selesa mereka dan mengalami penerobosan sama seperti apa yang saya lalui serta berkongsi berita baik kepada rakan-rakan saya yang belum pernah mendengarnya. Saya tidak akan pernah lupa perkara yang telah saya pelajari, pengalaman yang telah saya lalui dan kenangan indah yang telah tercipta sepanjang Next Gen 2022. Saya percaya ini bukan satu kebetulan tetapi sudah menjadi sebahagian daripada rancangan Tuhan. Biarlah kita terus bersemangat melayani Tuhan dan memuliakan namaNya seterusnya menjadi terang dan garam dunia. Tuhan Yesus memberkati.


Kuatkan dan teguhkanlah hatimu, janganlah takut dan jangan gemetar karena mereka, sebab TUHAN, Allahmu, Dialah yang berjalan menyertai engkau; Ia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau. -Ulangan 31:6


----Shae

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page