top of page

Kerendahan Hati Kunci Sebuah Pelayanan



Shalom semua, saya Sylvester ingin berkongsi sebuah kesaksian saya sepanjang trip misi saya di perkampungan orang asli. Pertama kali saya ingin mengucap syukur kepada Tuhan kerana saya diberi kesempatan untuk menjadi Team Leader (TL) untuk pertama kali dalam sebuah trip misi. Ini merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi saya kerana diberi kesempatan untuk membawa team saya untuk melayani penduduk orang asli dan memberitakan Injil kepada penduduk di sana betapa besarnya kasih Tuhan kepada kita semua yang percaya kepadaNya.


Memimpin sebuah team bukanlah perkara yang mudah bagi saya tetapi Tuhanlah yang memberi saya kekuatan sepanjang melakukan perancangan aktiviti yang hendak dilakukan sepanjang trip misi di perkampungan orang asli. Saya mengucap syukur juga ada Jocelyn yang banyak membantu saya dalam perancangan trip misi ini dari awal sehingga akhir pelayanan kami. Apapun, kami hanya mampu merancang sahaja, selebihnya kami serahkan ke dalam tangan Tuhan. Biarlah Tuhan yang membuka jalan dalam pelayanan kami di perkampungan orang asli kerana kami percaya Tuhan lebih mengetahui keperluan penduduk di sana. Oleh sebab itulah, kami serahkan segalanya ke dalam tangan Tuhan.


Hal yang menjadi kerinduan bagi saya sepanjang trip misi ini ialah saya mahu melihat rakan sepelayanan saya bertumbuh dan menjadi dewasa secara rohani di dalam kehidupan mereka. Saya percaya setiap daripada mereka dipakai Tuhan dengan sangat luar biasa. Saya percaya setiap daripada kami memiliki karunia yang berbeza, namun apa yang pasti karunia-karunia tersebut digunakan oleh kami untuk memberkati dan melayani penduduk orang asli di sana. Tujuan kami hanyalah satu iaitu memberitakan khabar baik kepada penduduk di perkampungan orang asli yang kami layani.


Namun begitu, perkara yang paling penting dalam sebuah pelayanan ialah Kerendahan Hati. Kerendahan hati amatlah penting dalam sesebuah pelayanan kerana ianya menyedarkan kita bahawa kita tidak berarti tanpa Tuhan. Apa yang kita miliki hari ini, semuanya pemberian daripada Tuhan. Orang yang rendah hati adalah orang yang tahu untuk bersyukur dalam keadaan apapun. Akhir sekali, orang yang rendah hati dalam pelayanan adalah orang yang sentiasa mengandalkan Tuhan dalam pelayanannya. Apa yang saya sedari, setiap daripada kami yang melayani di perkampungan orang asli memiliki kerendahan hati untuk dibentuk dalam melakukan pekerjaan Tuhan. Itulah yang membuat pelayanan trip misi saya bersama dengan rakan sepelayanan saya menjadi lebih indah kerana setiap daripada kami memiliki kerendahan hati dalam melayani.


Jika kita mahu melayani orang asli, kita perlu melayani mereka dengan rendah hati. Jangan meninggikan diri dengan kepandaian, kemewahan atau kesenangan yang kita miliki kerana semuanya adalah pemberian Tuhan. Jika kita memiliki kerendahan hati dalam memberitakan khabar baik kepada penduduk di perkampungan orang asli, berita yang didengari oleh penduduk orang asli itu akan menyenangkan hati mereka dan membuatkan hati mereka terbuka untuk menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat di dalam hidup mereka. Namun begitu, Tuhanlah yang menyentuh hati mereka untuk menerima Tuhan Yesus secara peribadi di dalam hidup mereka.


Melihat rakan sepelayanan saya yang memiliki kerendahan hati dalam mengendalikan 4 malam KKR berturut-turut, membuatkan saya rasa terkagum dengan kekuatan dan semangat yang mereka miliki. Saya percaya itu bukanlah perkara yang mudah tetapi dengan adanya penyertaan Tuhan dalam kumpulan kami, semuanya berjalan sesuai dengan kehendak Tuhan. Saya sangat bersyukur kerana memiliki rakan sepelayanan yang mempunyai kerendahan hati dalam melayani Tuhan sepanjang trip misi ini. Saya percaya Tuhanlah yang menyentuh hati setiap daripada kami untuk memiliki kerendahan hati sepanjang trip misi ini.


Itu sahaja kesaksian daripada saya. Terima kasih CLC kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi TL dalam trip misi ini. Terima kasih juga kepada 14 peribadi dalam team saya yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang trip misi ini. Tidak lupa juga kepada peribadi-peribadi yang memberi sumbangan dana kepada saya dalam trip misi orang asli kali ini. Terima kasih semua untuk pengalaman yang indah ini. Tuhan Yesus Memberkati!


-Sylvester-


Recent Posts

See All

Comments


bottom of page