top of page

KESAKSIAN VANIA


Shalom dan apa khabar, anak-anak Tuhan? Saya berharap bahawa semua orang sedang berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja tetapi sekiranya kamu berasa yang sebaliknya, saya percaya yang Tuhan akan selalu menyertai kamu dan membantu kamu dalam kehidupan kamu seperti bagaimana Tuhan telah membantu saya sepanjang program Next Gen 2023. Sebelum itu, saya ingin memperkenalkan diri saya. Nama saya ialah Fylaraysieca Vania Raijon, berasal dari Kudat, Sabah dan telah menyambung pembelajaran saya di Universiti Teknologi Mara(UITM), Shah Alam, Selangor.


Saya masih ingat saat pertama kali saya mendengar tentang program Next Gen 2023 daripada kawan saya, dunia yang baru terbuka di depan mata saya, dan saya sama sekali tidak tahu apa-apa tentang program ini. Kawan-kawan mengajak saya untuk menyertai program ini tetapi satu demi satu kawan saya terpaksa mengundur diri atas sebab yang tertentu. Hanya saya dan dua kawan saya yang dapat menyertai program ini. Saya sering tanya diri saya sendiri, patutkah saya menyertai program ini kerana saya hanya bersama dua kawan saya tetapi saya percaya bahawa ini merupakan panggilan daripada Tuhan.


Pada minggu pertama program ini dijalankan, saya telah bertemu dan mengenali ramai orang sepanjang program ini berlangsung. Tuhan juga telah menemukan saya bersama ahli kumpulan yang sangat baik dan selalu memberikan dorongan sekiranya saya tidak berkeyakinan untuk melakukan sesuatu. Saya percaya bahawa ini merupakan rancangan-Nya bukan hanya untuk saya mengenali Tuhan dengan lebih mendalam tetapi juga untuk saya mengongsikan berita baik ini kepada pelajar-pelajar di luar sana bahawa Tuhan akan selalu bersama di dalam hidup mereka.


Misi Next Gen pada kali ini berfokus terhadap pelajar sekolah. Saya dan ahli kumpulan saya telah ditempatkan di SMK U, satu sekolah menengah yang berada di kawasan pedalaman. Minggu pada waktu kami berada di SMK U merupakan minggu peperiksaan, kami telah menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dan beberapa aktiviti yang tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang tetapi kuasa Tuhan amat luar biasa. Tuhan telah melihat dan mendengar setiap doa permintaan tolong kami. Saya percaya Tuhan telah menggunakan kami untuk meluangkan waktu untuk mendengar luahan hati pelajar dan mendoakan mereka. Syukur puji Tuhan! Saya nampak semangat mereka untuk mendengar dan menerima perkongsian kami kepada mereka.

Saya sangat bersyukur dan tidak menyesal menyertai program Next Gen ini kerana Tuhan telah membantu saya menempuhi pelbagai cabaran terutamanya daripada segi pelayanan. Melalui program ini, saya telah mengharungi ketakutan saya untuk bercakap depan orang yang ramai dan berpeluang menjadi pemimpin Praise and Worship buat kali pertama. Saya juga ingin berterima kasih kepada ahli kumpulan saya kerana tanpa mereka, saya tidak dapat lakukan semua ini sendirian. Saya nampak pertumbuhan saya secara rohani dalam hadirat Tuhan dan puji Tuhan kerana saya dapat melakukan kehendak dan panggilan Tuhan. Saya percaya yang saya boleh bertumbuh lebih lagi dengan luar biasa dan membantu generasi-generasi yang lain.

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page