top of page

Level Up!



Shalom semua, nama saya Wellie pelajar tahun 1 dari Universiti Sains Malaysia. Saya berumur 21 tahun dan berasal dari negeri Sarawak. Tajuk kesaksian saya ialah Level Up! Untuk pengetahuan saudara yang membaca kesaksian saya, ini adalah kali pertama saya mengikuti Mission Trip dan hal ini membuat saya semakin takut. Bukan itu sahaja, peserta Mission Trip dari tahun 1 kali ini hanya dua orang sahaja. Sejak itu saya mula berfikir dan bertanya-tanya, “kenapa harus saya Tuhan?” Dan persoalan itu terus bermain dalam ruangan minda saya. Jujur saya cakap, pergumulan itu mengganggu kerja harian saya. Sewaktu saya ditanya oleh PP program, saya banyak berfikir. “Haruskah saya ikut? Saya tidak layak, Tuhan. Apa jawapan saya?” Banyak betul persoalan saya sehingga satu hari hati saya tiba-tiba ada mengatakan sesuatu yang amat jelas. “Sudah tiba saatnya untuk kamu menerima panggilan Tuhan untuk melayani-Nya.” Ketika itu baru saya terdetik, saya bukanlah hamba Tuhan yang selalu melayani-Nya dalam gereja dan lebih teruk lagi saya selalu menolak pelayanan. Oleh itu, saya percaya kata-kata itu ialah datangnya dari Roh Kudus yang berbicara dengan saya untuk menerima panggilan-Nya.


Namun begitu, pergumulan saya tidak berhenti di sana. Umpama permainan video yang banyak level dan stage yang harus saya lalui, lepas satu datang lagi satu masalah yang saya harus lalui. Selepas saya melepasi satu level saya masuk lagi level yang baru. Pada saat saya menjawab ‘yes’ untuk mengikuti MT, beberapa hari kemudian, muncul satu perasaan. Di sana saya mula mempersoalkan kredibiliti saya sebagai hamba Tuhan. “Mampukah saya untuk mengkhabarkan berita baik sedangkan saya tidak cukup sempurna? Saya tidak berpengalaman seperti yang senior sangkakan. Saya tidak layak untuk melakukan pekerjaan ini.” Saya amat pelik ketika itu, kenapa saya yang di ‘approach’ sedangkan saya dikelilingi oleh orang-orang yang sungguh luar biasa dipakai Tuhan. Cukup bertalenta dalam pelayanan dan aktif dalam gereja berbanding dengan saya yang hanya jemaat biasa yang selalu tolak pelayanan. Saya sangat tidak yakin untuk ikut serta. Lagi sekali saya bergumul. Saya bawa pergumulan ini kepada Yesus. Pergumulan saya telah dijawab ketika kami pra MT di Gospel Hall. Belum sampai 1 hari di sana, kami diberi satu buku pembelajaran untuk sepanjang pra MT. Kulit depan buku itu ada menulis satu firman Tuhan yang mana secara tidak langsung menjawab persoalan saya. Ya, dengan satu firman saja cukup memberikan saya jawapan yang saya cari selama ini, iaitu dalam 1 Timotius 4:12 yang mengatakan “Jangan seorang pun menganggap engkau rendah karena engkau muda. Jadilah teladan bagi orang-orang percaya, dalam perkataanmu, dalam tingkah lakumu, dalam kasihmu, dalam kesetiaanmu dan dalam kesucianmu.” Melalui firman ini saya telah diteguhkan bahawa saya telah dipilih oleh Yesus untuk menjadi teladan kepada orang percaya walaupun saya muda. Bukan itu sahaja, saya masih ingat lagi dengan satu khutbah dari seorang peribadi yang mengatakan, Yesus tidak memilih orang yang hebat untuk melayani. Yesus boleh memilih anaknya yang tidak tahu apa-apa sebagai seorang hamba Tuhan yang hebat dalam pelayanan seperti Petrus yang juga tidak tahu apa-apa namun dipilih oleh Yesus sebagai murid-Nya. Sejak itu, saya mula jelas akan tugas saya di MT walaupun saya masih baru dalam pelayanan kerana saya percaya saya dipilih kerana ada sesuatu yang Tuhan ingin tunjukkan kepada saya.


Sebelum menutup kesaksian saya, saya ingin berterima kasih dengan ahli kumpulan saya, yang banyak membantu saya dalam perjalanan iman saya dan saya rasa saya di level yang lebih tinggi berbanding dengan Wellie yang dulu. Mereka cukup hebat dalam pelayanan Tuhan dan saya banyak belajar daripada mereka. Mungkin ramai yang kata saya ikut MT ini untuk menimba pengalaman tapi bagi saya sama sekali tidak. Bagi saya MT saya untuk kali pertama ini adalah untuk membantu saya semakin bertumbuh dalam iman dan mengeratkan hubungan saya dengan Tuhan. Saya sangat bersyukur kerana menerima panggilan ini dan percaya atau tidak saya rasa tidak menyesal untuk menyertai MT bahkan saya rasa sedih untuk balik dari kampung yang kami layani. Secara peribadi, level yang saya lalui sepanjang MT adalah untuk membantu saya semakin kukuh dalam iman dan mengajar saya untuk menjadi seorang anak Tuhan yang matang dalam pelayanan. Itu saja kesaksian saya. Terima kasih kerana sanggup baca kesaksian saya dan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat dalam membantu dalam perjalanan iman saya dan ya saya tidak pernah berhenti untuk terus melangkah ke level yang seterusnya. Level up!


Recent Posts

See All
bottom of page