top of page

Melangkah Keluar dari Zon Selesa


Shalom semua! Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana melalui platform ini saya dapat mengongsikan kesaksian peribadi saya selama mengikuti trip misi pada 1 sehingga 13 Mac 2023 di Pahang.


Sebelum saya menceritakan memori sepanjang trip misi berlangsung, suka untuk saya mengongsikan serba sedikit pergumulan yang saya hadapi sebelum mengambil keputusan untuk menyertai trip misi ini. Sebenarnya, banyak perkara yang saya pertimbangkan sebelum benar-benar yakin untuk mengikuti trip ini. Misalnya, adakah saya berkeupayaan untuk mengongsikan kasih Tuhan kepada masyarakat di sana? Adakah saya akan mempunyai kawan sepanjang trip misi ini berlangsung? Persoalan-persoalan inilah yang bermain di minda saya. Namun, satu hari pada waktu malam di tengah ketidakpastian dan kerisauan ini iaitu selepas saya berdoa, hati saya terdorong untuk mengisi Google Form penyertaan trip misi ini dan pada waktu itulah saya secara peribadi tahu saya telah melangkah keluar dari zon selesa saya. Perkara yang saya terfikir pada saat itu ialah jika saya tidak berani untuk keluar dari zon selesa saya, bagaimanakah saya dapat bertumbuh? Mungkin perkara ini adalah sesuatu yang biasa bagi sesetengah orang tetapi pada saya ini ialah perkara yang luar biasa dan ini juga sebenarnya merupakan kali pertama saya melibatkan diri dalam pelayanan trip misi.


Syukur puji Tuhan untuk 7 hari yang penuh dengan pengalaman baharu, di mana seorang individu yang bernama Elmi Imellya ini telah mengalami satu pengalaman yang sangat bermakna dan membangun bukan sahaja secara jasmani tetapi rohani juga. Sepanjang trip misi ini, hikmat kebijaksanaan untuk berkata-kata dan keberanian dari Tuhanlah yang telah memampukan saya untuk pergi ke rumah-rumah masyarakat OA dan memberitakan khabar baik itu. Justeru terdapat banyak respon yang telah saya terima daripada masyarakat OA apabila khabar baik itu disampaikan kepada mereka. Dua jenis respon yang paling kerap saya terima ialah penerimaan dan penolakan. Syukur puji Tuhan untuk respon yang positif, sehingga ada beberapa orang masyarakat OA yang saya layani menitiskan air mata dan mengongsikan perasaan terharu mereka. Saya yakin ini ialah pekerjaan Roh Kudus sehingga orang-orang ini dapat merasakan sesuatu di hati mereka.



Bagi respon penolakan pula, adakah saya merasa ‘down’? Jujur saya katakan, penolakan pertama yang saya terima telah melemahkan saya. Semasa saya membuat refleksi tentang penolakan tersebut, saya asyik terfikir mungkin cara penyampaian saya itu tidak berkesan, saya sepatutnya mengatakan perkara ini, itu dan sebagainya supaya individu tersebut lebih yakin. Tetapi selepas beberapa waktu, saya disedarkan bahawa mungkin waktunya belum tiba untuk hati OA tersebut dijamah untuk menerima Sang Juruselamat tetapi perkara yang terpenting ialah khabar baik itu telah diberitakan kepada mereka. Biarlah kuasa Tuhan yang bekerja ke atas setiap peribadi OA tersebut lewat daripada benih yang sudah ditabur kepada mereka.


Sepanjang trip misi ini saya yakin bukan dengan kekuatan saya sendiri saya dapat melakukan perkara-perkara yang sebelum ini tidak pernah saya lakukan, tetapi kekuatan dari Tuhan Yesus lah yang telah menuntun saya. Saya secara peribadi berasa sangat bersyukur kerana melalui keberanian saya untuk keluar daripada zon selesa, Tuhan dapat bekerja melalui diri saya sebagai saluran untuk memenangkan jiwa masyarakat OA. Sungguh pertolongan Tuhan itu nyata dalam kekurangan saya! Kuasanya tidak dibatasi oleh apa pun dan saya percaya jika Tuhan berkehendak maka itulah yang akan terjadi.

Akhir sekali, saya sangat diberkati dengan kehadiran 14 orang anak Tuhan yang sama-sama melayani masyarakat OA di Pahang. Kehadiran mereka bukan sahaja menjadikan suasana meriah dengan personaliti dan karenah masing-masing tetapi 7 hari melayani bersama mereka bagaikan suatu masa yang singkat.


Saya akhiri coretan ini dengan frasa yang pastinya akan selalu tersemat di ruang memori,

‘Ma Igah?’ (Apa khabar?)

‘Bor!’ (Baik!)

-Elmi-

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page