top of page

Mengasihi tidak mudah tapi Berbaloi



Shalom!


Jujur mengikuti trip misi kali ini merupakan hal yang sukar untuk saya. Antara hal utama menyebabkan saya berasa berat sekali mengikuti trip kali ini ialah tugasan tahun akhir. Tugasan ini terus menggangu fikiran saya kerana data kajian sepatutnya saya perlu selesaikan dalam cuti semester ini. Walau bagaimanapun, saya tetap mengambil keputusan untuk mengikuti trip ini kerana dasar Tuhan akan membantu saya, namun, 1 hari sebelum trip berlangsung tiba-tiba perasaan menyesal mengikuti trip ini datang, dalam fikiran saya terus bermain “kalau saya tidak ikut trip ini saya boleh bercuti dan menyelesaikan data kajian saya, kenapa saya susahkan diri mengikuti trip ini”. Meskipun menyesal saya teruskan saja trip ini kerana saya sudah meminta tajaan dan barang-barang untuk dibawa pun sudah saya siapkan.


Dalam keadaan menyesal tiba-tiba saya teringat dengan kata-kata Tuhan Yesus di Alkitab. "Kasihilah Tuhan, Allahmu , dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu. Itulah hukum yang terutama dan yang pertama. Dan hukum yang kedua, yang sama dengan itu, ialah kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri”. Kata-kata Tuhan Yesus ini membuka fikiran saya, kenapa sebenarnya saya mengikuti trip ini, ini bukan tentang saya tetapi tentang Tuhan dan orang-orang yang memerlukan.


Kalau saya mengasihi Tuhan kenapa saya tidak melakukan perintah Dia, kalau saya mengasihi manusia kenapa saya tidak melayani mereka. Bagi saya kalau saya benar-benar mengasihi seseorang saya harus mengambil berat mengenai keselamatan mereka di kehidupan yang kekal nanti. Sanggupkah saya melihat OA yang belum kenal Tuhan Yesus menderita secara kekal di kehidupan selepas meninggal dunia, kalau saya sanggup itu bukan kasih. Oleh itu, dengan kesempatan yang terhad saya mahu tidak mahu tetap mahu mengikuti trip ini walaupun ada benda yang saya korbankan. Situasi ini menyedarkan saya bahawa mengasihi itu tidak mudah.


Sepanjang trip ini berlangsung saya terus berdoa supaya Tuhan memberi saya hati untuk benar-benar mengasihi OA. Saya mahu setiap tindakan saya terhadap OA berdasarkan kasih dan mereka dapat mengalami kasih itu. Saya mahu memberitakan injil berdasarkan kasih supaya saya sungguh-sungguh memberitakan injil, bukan untuk trip ini tapi untuk keselamatan kekal mereka. Semasa di kampung OA saya melihat ada ramai kanak-kanak dan hati saya tersentuh melihat keadaan mereka yang serba kekurangan. Saya juga mendengar keluhan ibu-ibu dan bapa-bapa disitu mengenai pembangunan disitu. Saya tidak dapat membantu pembangunan mereka tetapi apa yang saya dapat bantu ialah saya dapat bantu keselamatan kekal mereka. Jadi saya cuba memberitakan injil sebaik mungkin.


Semasa memberitakan injil, terdapat dua orang atuk yang menarik perhatian saya. Ya saya sudah kongsikan injil kepada mereka tetapi mereka mengambil keputusan untuk tidak menerima Tuhan Yesus. Seorang atuk itu bomoh dan seorang lagi lumpuh sebelah badan. Walaupun mereka tidak menerima Tuhan Yesus tetapi saya terus melayan mereka dengan kasih. Saya memberi mereka makan dan banyak mendengar keluhan masalah mereka. Puji Tuhan atuk lumpuh itu sudi mahu saya doakan kaki dan tangannya yang lumpuh. Puji Tuhan atuk itu ada berkata keadaannya sedikit baik selepas didoakan. Menariknya lagi, atuk bomoh yang langsung tidak mahu terima Tuhan Yesus dan tidak mahu didoakan, saya melihat beliau yang pandai membaca sedang membaca buku 4HR semasa kami mahu keluar dari kampung itu. Saya berharap mereka dua akan mengalami lawatan Tuhan secara peribadi dan akan terima Tuhan Yesus.


Pengalaman lain yang menyentuh hati saya ialah semasa mini KKR kami lakukan. Semasa itu saya kongsikan injil kepada mereka yang hadir KKR itu. Jujur faktor sekeliling terus memaksa saya untuk berhenti berdiri di depan dan kongsikan injil sehingga saya seakan-akan tidak dapat teruskan perkongsian saya. Puji Tuhan, saya dikuatkan dengan kasih Tuhan, saya melihat ada ramai jiwa ditempat itu perlu kenal Tuhan Yesus dan saya teruskan perkongsian saya itu sehingga sesi saya mencabar mereka untuk terima Tuhan Yesus. Puji Tuhan, semasa saya cabar mereka untuk mengangkat tangan bagi mereka yang mahu terima Tuhan Yesus, hampir semua yang hadir angkat tangan sebagai tanda untuk terima Tuhan Yesus. Terdapat juga seorang nenek angkat tangan sambil melaungkan, “terima Tuhan Yesus” beberapa kali. Saya sangat tersentuh dengan peristiwa ini. Saya juga melihat terdapat kanak-kanak yang mengeluarkan air mata kerana tersentuh dengan kasih Tuhan. Saya percaya ini merupakan pekerjaan Roh Kudus.


Selepas trip misi saya kembali kepada tugasan akhir saya, ya saya tidak berjaya siapkan data kajian saya tetapi saya berasa puas hati kerana melihat OA kenal Tuhan Yesus. Data kajian menjadi korban kepada hal yang lebih berbaloi iaitu jiwa-jiwa yang kenal Tuhan Yesus. Oleh itu, sekali lagi saya katakan mengasihi tidak mudah tetapi akan berbaloi. Tuhan memberkati.


Recent Posts

See All

Comments


bottom of page