top of page

'PROSES'



Shalom semua,

Puji Tuhan pada 12 Mac yang lalu, saya baru sahaja selesai mengikuti trip misi dan saya sangat bersyukur atas penyertaan dan perlindungan Tuhan bagi saya dan team.


Pada mulanya semasa saya di approach untuk menjadi team leader, saya sudah diteguhkan oleh beberapa peribadi. Jadi, waktu itu saya terima dengan hati yang terbuka dan yakin. Namun, apabila tarikh trip misi semakin dekat, ada beberapa perkara yang menjadi beban di hati saya sehingga saya sedikit bergumul tentang trip misi yang akan saya sertai. Walaupun begitu, saya punya kerinduan yang sangat dalam untuk menyertai trip misi bersama-sama dengan anak-anak Tuhan yang lain. Saya rindu untuk melayani bersama-sama dengan mereka kerana saya merasakan satu persekutuan dan hubungan dalam Kristus yang erat. Akhirnya, saya kuatkan hati dan saya percaya bahawa Tuhan yang memberi kerinduan di hati saya.


Sebagai team leader, saya bertanggungjawab untuk merancang aktiviti team, membuat keputusan, mengambil tindakan dan harus selalu siap sekiranya team mengalami masalah. Jujur saya katakan, perkara yang paling merisaukan saya adalah menghadapi masalah atau konflik yang tidak dijangka. Saya tahu bahawa dalam setiap pelayanan, kita akan mengalami banyak ketidakpastian dan persoalan. “Adakah saya membuat keputusan dan tindakan yang betul? Adakah saya memimpin team saya dengan baik?” dan banyak lagi persoalan yang saya sendiri tidak jumpa jawapannya.


Semasa membuat perancangan untuk aktiviti team, awalnya saya yakin dengan semua pengisian aktiviti dan puji Tuhan semua ahli team bersetuju dengan setiap pengisian aktiviti tersebut. Tetapi apabila hari trip misi sudah semakin dekat, saya melihat pemimpin lain sangat sibuk dengan perancangan team mereka. Sejujurnya saya sangat kagum melihat mereka menguruskan team mereka dengan sangat detail sehingga saya mula merasa sedikit cemas. Saya risau sekiranya apa yang sudah saya rancang tidak cukup. Saya selalu bertanya “Mengapa saya rasa terlalu santai? Adakah saya tertinggal sesuatu? Di bahagian mana lagi ya yang belum cukup?” Setiap hari, ada saja perkara yang membuat saya cemas.


Saya sempat merasa kecewa kerana saya belum melihat hasil pelayanan sepanjang kami di sana. Ada waktunya saya rasa 'down' kerana saya terlalu memandang kepada kekurangan saya. Tetapi, Tuhan menegur saya melalui kawan-kawan saya bahawa tidak ada pelayanan yang sia-sia dan Tuhan tidak memandang besar atau kecil pelayanan kita kerana semua pelayanan kita berharga bagi Tuhan. Cukup kita lakukan yang terbaik dan melayani dengan kasih. Saya banyak ditegur dan dibetulkan oleh ahli team saya dan barulah saya sedar betapa tamaknya saya kerana memaksa untuk melihat hasil sekarang.


Setelah tamat trip misi dan berpisah dengan team saya, barulah saya sedar bahawa Tuhan sedang mengajar saya untuk menghadapi setiap proses dengan sabar dan tetap percaya bahawa Dia yang akan campur tangan. Satu perkara yang sangat menyentuh hati saya ialah, Tuhan bekerja 'dalam diam' membentuk setiap kami sepanjang 1 minggu itu. Sambil kami melayani orang lain, Tuhan bekerja di dalam setiap peribadi kami sehingga kami banyak bertumbuh dan diubahkan sepanjang 1 minggu itu. Dan apa yang Tuhan mahu nyatakan kepada saya melalui trip misi ini bukanlah melihat hasil tetapi Tuhan mahu saya melalui proses, iaitu proses yang mematangkan, proses untuk tetap mengandalkan Tuhan dalam segala perkara, proses untuk menghargai setiap ahli team dan proses untuk saling mendorong satu sama lain.


Saya percaya segala sesuatu ada waktuNya Tuhan, dan apa yang boleh kita lakukan selama menunggu waktu itu ialah bersabar menghadapi setiap proses. Bahagian kita ialah melakukan yang terbaik dalam apapun pelayanan kita, dan selebihnya adalah bahagian Tuhan. Mungkin kita belum melihat hasil atau tuaian kerana bahagian kita adalah menabur. Proses menyiram atau menuai mungkin adalah bahagian orang lain. Jadi, saya percaya bahawa team ini sudah melakukan bahagian kami. Perlahan-lahan saya belajar untuk cuba fahami kehendak Tuhan dan mula ‘let go’ semua persoalan saya dan selagi saya melakukan semuanya untuk kemuliaan Tuhan dan menyenangkan hati Tuhan, mengapa lagi saya bimbang? Apabila saya kenang kembali, setiap proses yang Tuhan tunjukkan kepada saya sangat indah bahkan semakin indah apabila semuanya beserta rakan sepelayanan yang saling menguatkan. Paling penting, semuanya beserta Tuhan Yesus yang indah.


-Brender


Recent Posts

See All

Opmerkingen


bottom of page