top of page

Rancangan-Ku Bukanlah Rancanganmu



Shalom, saudara & saudari yang dikasihi Tuhan. Saya sangat bersyukur berpeluang mengikuti pelayanan Next Gen kali ini dan ingin berkongsi cerita.

Bagi saya, persiapan setakat ini agak cukup cuma perlu diajar banyak semasa Pra-Next Gen. Sewaktu sampai ke tempat tersebut rupanya banyak perkara perlu ditambah baik & setiap hari ada sahaja perubahan. Oh Tuhan, apa kejutan yang akan diberi kepada team kami kali ini dan ya saya berusaha untuk kuat sendiri kerana beranggapan jika saya sebagai ketua menunjukkan saya lemah, bagaimana pula dengan rakan-rakan saya? Sehingga satu tahap saya tidak mampu menahan air mata saya mengalir. Saya bertanya kepada Tuhan, layakkah saya menjadi ketua mereka Bapa? saya sudah buat semampu saya tapi, kenapa saya tidak boleh pikul peranan saya sebagai ketua dengan baik dalam kumpulan ini, bukankah ada yang lebih layak pegang tugas ini Bapa? Mana tidaknya, setiap perancangan yang kami telah tetapkan telah berubah semuanya waktu tempat kejadian. Tapi begitulah, rencana-Ku bukanlah rencanamu dan rencana Tuhan adalah yang terbaik sekali. Syukur puji Tuhan, setiap perubahan yang berlaku itu menjadi lebih baik berbanding perancangan kami sebelum ini. Kumpulan kami malah menjadi lebih luar biasa & hubungan kami semakin akrab. Setiap ahli kumpulan saya memahami apa perlu dibuat & fleksibel. Saya melihat Tuhan bekerja dalam setiap kami. Semangat mereka untuk melayani itulah yang menguatkan saya sepanjang kami berada di sana.


Satu perkara yang saya pelajari, jangan pernah mengandalkan kekuatan sendiri tetapi andalkan Tuhan dalam setiap perancangan kita. Tuhan tidak melihat siapa kami, latar belakang kami & jika Tuhan pilih seseorang itu semuanya menjadi tidak mustahil yang penting percaya akan Dia yang pegang kendali. Tuhan menunjukkan saya bahawa ada perkara yang saya tidak boleh buat sendirian melainkan percaya, kongsikan dan lakukannya bersama rakan-rakan kumpulan saya. Tuhan menyedarkan saya setiap kekurangan kami itu dilengkapi dengan kelebihan rakan-rakan dalam kumpulan kami. Daripada mereka, saya sentiasa diperingatkan Tuhan sentiasa menyertai kami. Terus berserah & bergantung harap kepada Tuhan. Seterusnya, adik-adik yang kami layani sememangnya rindu akan bersekutu dengan Tuhan. Saya percaya dalam setiap perkara yang berlaku, pasti ada sebabnya. Mereka sangat bersukacita dan bersemangat mengikuti aktiviti-aktiviti yang telah kami jalankan di tempat itu walaupun minggu peperiksaan ketika itu. Adik-adik terbuka hati dan berharap untuk dikunjungi lagi pada trip misi Next Gen yang akan datang.

Akhir kata, terima kasih rakan-rakan & terutama sekali terima kasih Tuhan Yesus untuk rancangan yang Engkau sediakan kepada kami sepanjang pelayanan ini.

Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page