top of page

RENCANANYA YANG TIDAK TERDUGA



Shalom!

Puji Tuhan kerana ini merupakan kali kedua saya mengikuti trip misi dan trip misi kali ini adalah projek NextGen di mana kami melayani anak-anak remaja di beberapa sekolah. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan atas kesempatan yang diberikan untuk menyertai projek NextGen23 ini. Saya juga ingin mengucap syukur atas kesempatan dan kepercayaan menjadi salah seorang Assistant Team Leader untuk projek NextGen kali ini. Untuk pengumpulan dana, saya sangat berterima kasih kepada orang-orang hebat yang telah membantu saya dalam pengumpulan dana sehingga saya dapat mengikuti projek NextGen23 ini. Tuhan memberkati setiap mereka yang memberi dan membantu.

Sepanjang kami melayani di sekolah SMK S, penyertaan Tuhan itu sangat jelas. Pada hari pertama ISCF, agak huru-hara dan tidak berjalan dengan lancar seperti yang sudah team kami rancangkan disebabkan jumlah pelajar yang tidak terduga. Pelajar agak ramai daripada jumlah yang diberitahu oleh cikgu. Pada masa yang sama, kami sangat bersyukur dan bersukacita kerana ramai anak-anak remaja yang mahu mendengar khabar baik daripada Tuhan, cumanya kami agak berperanglah dengan situasi ketika itu tetapi syukur puji Tuhan kerana Tuhan memberi kekuatan dan membantu kami sehingga selesainya hari pertama ISCF kami. Jadi pada malam kami balik ke gereja, team kami membuat perbincangan dan terpaksa membuat “full adjustment” terhadap tentatif sebelum ini. Syukur hari kedua dan seterusnya, semuanya berjalan dengan baik dan sedikit sebanyak kami dapat mengenal mereka dengan lebih lagi serta mengetahui masalah dan pergumulan yang mereka hadapi. Untuk sesi UBK pula, puji Tuhan selama 4 hari sehingga majlis penutupan semuanya berjalan dengan lancar. Kami juga mendapat feedback yang baik daripada pelajar dan guru. Kami bersyukur kerana dapat membantu dan memberi dorongan kepada para pelajar khususnya pelajar tingkatan 5 yang akan melangkah ke tahap seterusnya dalam melanjutkan pelajaran.

Akhir sekali, untuk sesi ISCF, kami boleh lihat yang pelajar sangat memerlukan bantuan dari segi rohani. Mereka memerlukan orang yang boleh membawa dan memimpin mereka supaya tidak ada yang tercicir dan terpesong. Sangat sayang sekali kalau mereka tidak tahu pun akan kasih Tuhan yang begitu indah dan tidak menerima Tuhan Yesus sebagai juruselamat mereka. Pada hari terakhir sesi ISCF, kami bersyukur kerana seramai 17 orang pelajar yang matang telah menyahut cabaran untuk memberitakan injil kepada adik-adik mereka. Kami percaya, merekalah pemimpin seterusnya yang sudah Tuhan pilih untuk menjadi pemimpin yang boleh berlipat ganda supaya adik-adik yang lain juga dapat memberitakan injil kepada kawan-kawan mereka yang lain. Sepanjang pelayanan kami, jelaslah bahawa rancangan Tuhanlah yang terlaksana seperti di dalam Amsal 19:21 yang mengatakan “Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak Tuhan akan terlaksana”. Saya menyaksikan sendiri bagaimana Tuhan bekerja sepanjang pelayanan kami.

Di saat ada yang kurang berkenan di mata Tuhan, di situlah Tuhan menampar kami dengan rencanaNya yang tidak terduga dan rencana Tuhanlah akan terjadi sesuai dengan kehendakNya sendiri. Kami sangat bersyukur untuk pengalaman ini biarpun kami agak lelah dan hilang arah sedikit tetapi Tuhanlah sumber kekuatan dan tempat kami bersandar sepenuhnya. Terima kasih Tuhan untuk team yang memang mantap dan luar biasa, saya diberkati dengan setiap karakter mereka selama saya bersama mereka. Yang paling terakhir, memang akan ada saja sesuatu yang tidak terduga tapi percayalah bahawa Tuhan berserta dan memampukan kita! *Ulangan 20:4*

Recent Posts

See All
bottom of page