top of page

Satu-satunya andalan


Next Gen: Regenaration satu tema yang sangat menarik bagi saya kerana Regeneration bermaksud menjana semula apa yang kian pudar atau hilang. Saya juga boleh mengaitkan tema ini terhadap diri saya kerana saya juga bermula dari kosong, walaupun diri bergelar senior tapi saya sedar terdapat banyak sekali yang saya masih perlu belajar, terapkan dan aplikasikan.


Untuk permulaan, saya dilantik sebagai ketua pengangkutan dan penginapan dalam program ini dan tugas-tugas dalam bidang ini saya sudah biasa. Yang ingin saya kongsikan adalah pada hari pertama perjalanan ke destinasi kami. Hari itu, saya dikejutkan dengan kerja mengejutkan dan perlu diuruskan segera dalam tempoh beberapa jam. Saya agak stress kerana ia diluar skop tugas dan agak sukar bagi saya apabila bahan-bahan yang diperlukan ada dengan jabatan lain, akan tetapi dapat diselesaikan menjelang waktu perjalanan.


Kemudian, dikejutkan lagi dengan peristiwa yang tidak diingini iaitu terjadi kemalangan di mana van yang saya naiki bersama dengan rakan-rakan saya dilanggar oleh sebuah lori tangki minyak membuatkan kami terkejut, terutamanya saya masih dalam keadaan stres menambah lagi beban di dalam tubuh. Saya sejujurnya ingin marah tetapi saya tidak boleh tunjukkan kerana saya tidak suka dengan situasi ini, saya pun mendiamkan diri dan bertanya: “Tuhan, kenapa saya sentiasa tidak senang, apa yang saya perlu buat?”. Perjalanan pun diteruskan sehingga kami tiba di destinasi.


Setibanya di sana, badan saya rasa berat dan saya sedikit pening. Syukur tidak banyak yang kami lakukan pada waktu ketibaan, hanya menyusun barangan dan taklimat ringkas. Selepas semua selesai, saya pun berehat tidur untuk melegakan tekanan. Kemudian saya terfikir balik dengan pertanyaan saya semasa dalam van. Saya pun fikirkan pertanyaan itu sehingga terlelap. Beberapa jam berlalu, saya pun bangun. Saya teringat dengan Firman ini:



Marilah kepada-Ku semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.-Matius 11:28


Saya pun mengambil masa untuk memahami ayat itu dan berdoa. Sepanjang persiapan Next Gen ayat ini menguatkan saya kerana cabaran bukan sahaja fizikal tetapi juga mental. Keduanya, saya mengikut kumpulan saya untuk trip misi ke kampung-kampung. Di sini saya sangat diberkati dengan kesaksian kumpulan saya. Di sini Tuhan menunjukkan belas kasihnya dengan perkongsian setiap ahli. Tuhan itu Maha Kuasa dan mengetahui.


Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu dan jalan-Ku bukanlah jalanmu, demikian firman Tuhan.-Yesaya 55:8


Manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Saya percaya Tuhan membuat pertemuan dengan orang-orang bukanlah saja-saja tetapi ada rencana dan itu saya pegang dan percaya.


-Joe-

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page