top of page

Selangkah Lebih


Shalom, terlebih dahulu saya mengucap syukur atas kesempatan yang diberikan untuk saya mengongsikan pengalaman dan apa yang saya pelajari sepanjang Orang Asli Mission Trip 2023.


Di trip misi kali ini, kumpulan saya melayani di sebuah perkampungan orang asli yang majoritinya sudah mengenal dan menerima Kristus sebagai Tuhan dan juruselamat. Ramai penduduk di kampung ini yang sudah dimenangkan. Seperti penglibatan saya sebelum ini dalam trip misi yang lepas, saya dapat melihat pekerjaan Tuhan yang luar biasa dalam kalangan penduduk kampung yang kami layani bahkan juga dalam kalangan ahli kumpulan saya. Saya menyaksikan bagaimana Tuhan membuka hati peribadi yang sudah lama tidak bersekutu denganNya sehingga peribadi tersebut mula menggiatkan diri semula dalam persekutuan. Saya melihat bagaimana Tuhan menyentuh hati anak-anak kecil untuk menerima Dia sebagai juruselamat seperti seorang ayah yang memeluk anaknya dengan penuh kasih sayang. Saya merasakan pekerjaan dan urapan Roh Kudus dalam perkataan, perlakuan, dan keberanian kami sekumpulan dalam memberitakan berita penyelamatan kepada penduduk kampung.


Namun, secara peribadi, di trip misi kali ini, saya dibentuk untuk melayani selangkah lebih jauh dari zon selesa saya dalam pelayanan. Jika sebelum ini saya ditugaskan dalam Praise and Worship Ministry hanya sebagai pemimpin pujian dan pemuzik, kali ini saya dipertanggungjawabkan sebagai Person In Charge yang menguruskan keseluruhan hal berkaitan puji sembah. Dengan peranan yang baharu ini, banyak kali saya berkata kepada Tuhan, “Tuhan macam mana saya mahu setup semua ini? Betul kah apa yang saya buat? Am I too strict or too demanding to others? Pengetahuan saya tentang muzik masih kurang Tuhan!”. Satu hal yang saya sedari, Tuhan sentiasa menyediakan sumber yang boleh saya rujuk dan pelajari agar mampu memimpin ministry ini dengan baik. Dia yang memberikan saya hikmat dan kekuatan dalam membimbing team piji sembah sehingga semua sesi puji sembah berjalan lancar dan dapat memberkati para peserta.


Bukan itu sahaja, setelah 4 tahun tidak bergiat dalam pelayanan kanak-kanak di gereja kerana sering ditugaskan dalam pelayanan puji sembah, Tuhan memanggil saya semula untuk melayani kanak-kanak di perkampungan yang kami layani. Dengan kekhuatiran saya untuk menghadapi karenah anak-anak, dengan kekhuatiran saya untuk menyiapkan bahan pengajaran dalam masa yang singkat, dengan kekhuatiran saya sama ada saya mampu menyampaikan mesej dengan efektif atau tidak, saya gagahkan diri melaksanakan tugas ini dengan pimpinan menyeluruh daripada Tuhan. Syukur, sesi bersama anak-anak berjalan lancar dan mereka dapat menikmati sesi pembelajaran, berkat kesetiaan Tuhan dengan janjiNya dalam Filipi 4:13. Melihat kerinduan dan sukacita anak-anak ini dalam mengenal peribadi dan kekuasaan Allah dengan lebih mendalam telah menggerakkan hati saya untuk terus bergiat aktif di dalam pelayanan ini. Saya berhasrat untuk terus memantapkan pelayanan saya dari segi pergaulan dengan anak-anak dan kaedah pengajaran agar saya dapat membangun lebih ramai jiwa muda yang suatu hari nanti akan bersama kita semua dalam usaha menggenapi Amanat Agung.


Segala pengalaman dan pembelajaran saya sepanjang trip misi ini sangat mendewasakan saya. Saya percaya Tuhan sedang menyediakan saya untuk sesuatu yang besar. Saya akan menantikan rancangan Tuhan itu dan bersedia untuk dibentuk Tuhan sepanjang semester yang akan datang ini.


-Kleff-



Recent Posts

See All

Commentaires


bottom of page