top of page

Sungguh Indah Melayani Tuhan


Shalom, pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan atas kebaikan-Nya dan berkatNya yang sangat luar biasa. Saya juga rasa sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkongsi mengenai kesaksian sepanjang Mission Trip yang juga merupakan Mission Trip pertama yang saya sertai.


Sebelum ini saya tidak pernah pun terfikir untuk menyertai mana-mana Mission Trip, mungkin kerana saya tidak berminat lebih-lebih lagi diadakan pada waktu cuti semester yang sepatutnya saya pulang ke rumah. Tetapi, 3 bulan sebelum Mission Trip bermula iaitu pada 13 December 2022 saya di approach untuk menjadi kru pendaftaran pada malam itu, entah kenapa saya meresponinya dengan begitu cepat pada malam itu juga tanpa berfikir panjang dengan mengatakan ‘saya mau juga’ walaupun saya kata belum pasti. Syukur puji Tuhan saya tidak menolak untuk menjadi kru pendaftaran selepas itu dan setelah pautan pendaftaran dibuka saya tidak teragak-agak untuk mendaftarkan diri. Saya percaya itu merupakan pekerjaan Tuhan walaupun saya tidak menyedarinya. Saya percaya Tuhan yang memegang kendali hati dan fikiran saya pada saat itu supaya saya mengikuti Mission Trip ini.


Semasa Pra-MT saya bergumul dengan diri sendiri kerana tidak yakin sama ada saya boleh menyampaikan Berita Baik kepada mereka yang dilayani sedangkan saya tidak pandai berkata-kata dan saya juga tidak yakin dengan diri sendiri. Disingkatkan cerita, kami sudah berada di perkampungan tersebut untuk melakukan pelayanan. Saya ada melayani kanak-kanak, ibu bapa yang masih belum mengenal Tuhan Yesus. Syukur Puji Tuhan saya diberikan kekuatan dan keberanian untuk melakukan semua itu walaupun perasaan takut dan gelisah itu ada. Setelah saya berkongsi tentang Yesus, saya sangat gembira dan bersyukur atas pekerjaan Tuhan kerana terdapat beberapa kanak-kanak yang belum mengenal Yesus telah menerima-Nya pada saat itu juga. Jadi perkara yang saya mahu kongsikan ialah jangan takut dan biarkan Tuhan yang memegang kendali semuanya. Percaya sahaja kuasa Tuhan dan Dia yang akan menyertaimu.

Saya juga rasa sangat diberkati bersama ahli kumpulan yang saling mendorong antara satu sama lain. Melihat kesungguhan mereka dalam pelayanan terutama untuk memenangkan jiwa-jiwa yang belum mengenal Kristus mendorong saya untuk lebih giat memberitakan tentang Tuhan Yesus. Saya memperhatikan setiap mereka dalam melakukan pelayanan dengan sungguh-sungguh tanpa mengeluh walaupun jadual team kami sangat padat. Walaupun padat, tapi beban pelayanan itu tidak terasa. Saya tidak merasa sedikit pun beban dan walaupun penat saya tetap bersukacita. Saya percaya bukan kekuatan dari saya tetapi Tuhanlah yang menguatkan dan menghilangkan semua beban itu kerana saya percaya Tuhanlah yang mahu saya untuk mengikuti Mission Trip ini. Saya juga percaya Tuhan mahu saya keluar dari zon selesa saya dan mahu saya menjadi berkat kepada orang-orang yang kami layani. Jadi perkara yang boleh saya katakan ialah melayani itu bukan beban tetapi satu kehormatan dan kemuliaan yang harus dikembalikan kepada Tuhan Yesus Kristus kita. Dia yang akan bekerja ke atas hidup kita walaupun kita tidak sedar pekerjaanNya yang luar biasa.


Harapan saya selepas ini ialah lebih ramai lagi kawan-kawan yang mengikuti Mission Trip untuk merasakan sendiri kuasa Tuhan di dalam hidup mereka. Bukan itu sahaja, biarlah lebih ramai lagi jiwa-jiwa yang belum dimenangkan akan dimenangkan terutamanya anak-anak muda yang akan menjadi pemimpin kepada generasi seterusnya untuk merasakan kasih Tuhan dan menerima keselamatan yang kekal.


Semoga perkongsian ini dapat memberkati anda. Layanilah Tuhan selagi ada kesempatan! God bless!


Recent Posts

See All

Comments


bottom of page