top of page

Tuhan Cukupkan Selalu


Hai, semua! Terlebih dahulu, saya ingin mengucap syukur atas kesempatan untuk berkongsikan tentang kemuliaan Tuhan. Tuhan sangat baik. Saya terharu dengan pertolongan Tuhan yang sentiasa tepat pada waktuNya. Saat saya bergumul akan kewangan saya untuk belajar di Universiti Sains Malaysia, Tuhan hadiahkan sesuatu yang luar jangkaan saya. Saya menerima tawaran temu duga untuk Biasiswa YBSTAR. Untuk menghadiri temu duga tersebut juga menjadi pergumulan saya kerana temu duga tersebut diadakan di Kuala Lumpur. Saya belum pernah menjejak kaki di sana, jadi pelbagai perasaan yang mengganggu fikiran saya pada saat itu. Tambahan pula, ketika itu saya juga sangat sibuk dengan komitmen lain. Saya sangat bersyukur, Tuhan memberikan hikmat keberanian dalam diri saya untuk memohon penangguhan temu duga tersebut kepada hujung minggu. Kemudian, pada saat itu, saya juga sekali lagi bergumul dengan masalah kewangan saya kerana untuk pergi ke KL juga memerlukan perbelanjaan yang lebih sikit. Saya berfikir sebentar untuk meneruskan perjalanan ke KL atau tidak. Saya berdoa kepada Tuhan tentang pergumulan saya itu. Saya bersyukur Tuhan sediakan seorang rakan yang pergi bersama-sama dengan saya menghadiri temu duga. Saya bersetuju untuk menghadiri temu duga tersebut secara bersemuka. Sehari sebelum temu duga, saya dan rakan saya pergi ke KL menggunakan bas dan kami sampai di KL pada pukul 3:00 pagi.


Sebelum tiba, kami menempah hotel untuk kami berehat pada pagi itu. Setelah tiba di terminal bas, suasana sangat sunyi dan menakutkan. Selagi lagi, saya yakin dan percaya Tuhan menyertai perjalanan kami. Dia sediakan kami pemandu Grab yang baik hati. Pemandu Grab tersebut menghantar kami ke alamat hotel yang kami berikan.


Oleh sebab keadaan hotel tersebut agak menyeramkan, jadi pemandu Grab tu sanggup tunggu sehingga kami selamat masuk. Setelah sampai di bilik hotel, perasaan takut menghadiri temu duga dan berasa sangat letih bercampur baur dalam diri kami. Kami berdua hanya sempat berehat beberapa jam sahaja kerana pagi itu, kami perlu bersiap untuk pergi temu duga. Selesai sahaja temu duga, saya tidak yakin bahawa saya akan diterima sebagai penerima biasiswa. Kemudian, kami perlu balik ke USM. Sekali lagi, saya diberkati dengan pertolongan Tuhan. Tuhan sudah sediakan kami keluarga seiman iaitu seorang pastor dari Korea dan pembantunya yang membantu kami kerana pada tengah hari tersebut kami perlu keluar daripada hotel tersebut. Mereka menjaga kami seperti anaknya sendiri termasuk menyediakan makan, minum dan tempat penginapan. Sebelum menghantar kami ke USM, Pastor membawa kami bersiar-siar terlebih dahulu. Sebulan kemudian rasanya, saya disahkan sebagai penerima Biasiswa YBSTAR. Syukur ! Tuhan mencukupkan keperluan saya !

Jangan khuatir, imani dan yakin Tuhan sedang persiapkan apa yang kita perlukan. Tetaplah berdoa dengan iman. Tuhan memberkati !

— Fenny Sanila

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page