Terlebih dahulu saya mahu ucapkan syukur kepada Tuhan atas kesempatan untuk melayani anak-anak muda kali ini. Pelayanan ini saya mulakan penuh dengan ketidakpastian dan dalam keadaan yang belum bersedia. Keadaan ini menyebabkan saya semakin kurang bersemangat apabila saya mendapati ahli kumpulan saya juga belum bersedia. Saya bukan saja meragui kelayakan saya untuk melayani tetapi saya juga terlalu awal menilai kepribadian ahli kumpulan saya. Saya berasa bahawa kami semua belum layak untuk pergi melayani pada waktu itu. Hari demi hari, saya semakin tidak yakin sehingga saya membuat keputusan untuk memaklumkan perkara ini kepada rakan seiman saya. Saya kongsikan perkara yang saya pendam. Ketika itu, kumpulan saya masih belum ada aktiviti yang mahu dirancang, slide masih belum disiapkan dan sebagainya. Syukur! Bapa memakai keperibadian rakan seiman saya untuk memberikan kata-kata yang membangunkan kembali kerinduan untuk melayani. Setelah ini, saya terus berdoa untuk hati saya dan ahli kumpulan saya. Saya kemudiannya bersemangat kembali dan mahu melakukan yang terbaik untuk memuliakan namaNya. Justeru itu, saya mula berfikiran positif dengan apapun yang berlaku. Setibanya di tempat pelayanan, saya dapat merasakan segalanya berjalan dengan lancar meskipun agak terlewat kami membuat persiapan. Saya berasa serba salah dengan ahli kumpulan saya kerana menilai mereka terlalu awal yang sebenarnya saya sendiri pun tidak seharusnya berbuat sedemikian. Saya bersyukur kerana dapat mengatasi peperangan rohani dalam diri saya waktu itu. Justeru itu, saya tidak malu untuk kongsikan perkara ini depan mereka setelah kami habis melayani kerana saya sangat mengasihi mereka dan saya tidak mahu perasaan mengatasi kasih saya terhadap mereka. Pelayanan kali ini saya belajar untuk tetap setia mengandalkan Tuhan dalam apapun perkara meskipun dalam keadaan belum bersedia kerana Tuhan turut bekerja dalam ketidaksediaan kami. Tuhan mempermudahkan segala urusan kami melayani terutamanya campur tangan Tuhan menyentuh hati anak-anak di sana untuk berlipat ganda. Terima kasih juga ahli kumpulan saya kerana saya dapat rasakan hubungan kekeluargaan dalam Kristus antara kami.
top of page
bottom of page