top of page

Tuhan yang Memampukan dan Mencukupkan



SHALOM!

Pertama sekali, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana saya diberi kesempatan untuk turut serta dalam trip misi kali ini. Saya percaya ini semua bukan kebetulan atau sekadar hanya dibawa oleh kawan-kawan tapi saya percaya ini adalah seperti panggilan Tuhan dalam pelayanan yang lebih besar iaitu menjangkau jiwa mereka untuk menerima Kristus dalam hidup mereka.


Ini adalah pengalaman pertama saya mengikuti pelayanan seperti ini dan saya juga sebenarnya mempunyai kerinduan untuk membawa lebih ramai jiwa merasakan kasih yang indah daripada Yesus. Saya juga mahu mereka mengalami betapa besarnya kasih Tuhan itu dalam hidup mereka. Terima kasih untuk 2 anak Tuhan ini (Irine dan Kleffson) yang sudah approach saya untuk join trip misi dan pada akhirnya saya mengambil keputusan untuk turut serta biarpun saya risau yang saya tidak mampu tapi saya percaya bahawa Tuhan berserta dan akan memampukan saya. *Mazmur 55:22*


Pergumulan pertama saya adalah berkenaan pencarian dana untuk yuran trip misi ini. Saya risau kalau saya tidak dapat mencapai jumlah yang telah ditetapkan tetapi saya sangat bersyukur kerana berkat Tuhan itu selalu ada. Apa yang kita perlu buat hanya terus berusaha, kita buat bahagian kita dan selebihnya serahkan kepada Tuhan. Percaya saja bahawa Tuhan pasti mencukupkan. Tuhan sangat-sangat baik, Dia menghantar orang-orang hebat untuk bantu saya dalam pengumpulan dana ini. Terima kasih untuk Bro Kunch, Bro Bob, Bro Bryan, Bro Charles dan Sis Esney kerana sudi bantu saya dalam bentuk wang. Saya percaya ini adalah kerinduan mereka untuk memberi. Pastinya Tuhan akan melimpahkan lebih banyak berkat kepada mereka dan mencukupkan setiap apa yang mereka perlukan.


Kampung yang kami layani itu tidaklah mencabar sangat seperti kampung-kampung team yang lain, kerana semua kemudahan ada, gereja mereka juga cantik dan selesa. Kebanyakkan penduduk kampung di sana juga 90% sudah menerima Kristus tetapi cabaran disekeliling mereka tetap ada seperti terdapat ahli keluarga mereka yang sudah convert ke agama sebelah. Walaupun begitu, ketika kunjungan rumah, satu hal yang saya rasa sangat luar biasa adalah pada waktu saya bertanya kepada mereka apa kebaikan yang Tuhan sudah lakukan dalam kehidupan mereka, lalu mereka kongsikan kepada saya dan saya sendiri diberkati dengan cerita mereka. Puji Tuhan kerana melalui cerita yang mereka kongsikan itu menunjukkan bahawa mereka bersandar kepada Tuhan dan menyaksikan sendiri bukti kasih Yesus dalam hidup mereka.


Akhir sekali, melalui trip misi ini saya dapat lihat bahawa Tuhan berkerja dan Tuhan menyertai setiap aktiviti yang kami jalankan, buktinya semuanya berjalan dengan lancar dan kami dicukupkan biarpun banyak hal yang kami risau tetapi ada saja cara Tuhan untuk mencukupkan segala yang kami perlukan. Sejujurnya saya sendiri merasakan saya tidak layak sebab saya kurang dari segi pengalaman, tetapi saya ada kerinduan dan saya mahu meluangkan waktu saya untuk Tuhan jadi saya mengambil kesempatan ini untuk saya belajar dan mahu mengenali Tuhan dengan lebih lagi. Salah satu juga yang saya belajar dari trip misi ini adalah jika kita merasakan kita tidak layak ingatlah bahawa Tuhan yang melayakkan kita, Dia tidak akan cari yang sempurna atau yang sudah banyak pengalaman. Kita semua layak, kita semua layak untuk memberitakan injil. Jadi kalau kamu rasa kamu tidak cukup, Tuhan akan mencukupkan kamu dan kalau kamu rasa kamu tidak mampu, Tuhan akan memampukan kamu kerana saya juga secara peribadi pada mulanya merasakan saya tidak mampu tetapi saya percaya bahawa Tuhan sumber kekuatan saya, yang akan membantu saya dan memampukan saya.


-elnah-


Recent Posts

See All

Comments


bottom of page