top of page

Why Do You Fear?



Shalom semua,


Terlebih dahulu saya ingin mengucap syukur kepada Tuhan serta merakamkan setinggi ucapan terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk saya menyampaikan kesaksian sambil berkongsi pengalaman sepanjang OAMT: The Amazing Race yang telah diadakan pada 1 Mac sehingga 13 Mac di Pahang.


Saya yakin bahawa setiap daripada kita pernah mengalami perasaan takut. Seperti yang kita tahu, ketakutan juga dikaitkan dengan pergumulan yang dialami oleh seseorang. Jika dilihat berdasarkan pengalaman, saya kerap mengalami ketakutan sepanjang trip ini, dan memang benar bahawa semuanya berpunca daripada pergumulan yang dialami secara peribadi.


Saya pernah takut jika sahabat seiman serta pengiring mempunyai ekspektasi yang besar terhadap pelayanan saya sebagai seorang senior dan Ketua DG, walaupun ini sebenarnya pertama kali saya mengikuti trip sebegini. Tambahan pula saya takut menerima penolakkan (rejection) dari segi penerimaan (acceptance) dalam segala kelebihan dan kekurangan di antara saya dan orang lain. Malah, saya pernah takut akan diri saya sendiri kerana mempunyai ego yang tinggi dan mencemburui (envy) kelebihan orang lain pada masa-masa tertentu.


Pergumulan ini telah menyebabkan gangguan emosi yang serius sehingga pada suatu masa, saya tergamam dan tidak terfikir untuk berbuat apa-apa untuk mengatasi ketakutan yang dialami. Namun begitu, saya teringat kembali akan satu Firman Tuhan yang menjadi renungan saya sepanjang trip ini.


Jangan takut, sebab Aku menyertaimu, jangan cemas, sebab Aku Tuhanmu. Engkau akan Kuteguhkan dan Kutolong, Kutuntun dengan tangan-Ku yang jaya. (Yesaya 41:10)

Justeru, saya terus berdoa dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan, dengan harapan bahawa perasaan ini dapat dijauhkan daripada kehidupan saya. PUJI TUHAN! Sungguh besar kasih-Nya apabila Dia telah melimpahi kehidupan saya dengan berkat, terutamanya sepanjang trip ini.


Saya dipertemukan dengan peribadi yang bukan sahaja diberkati dengan pelbagai talenta. Malah, mereka juga telah menjadi inspirasi serta pembimbing kepada saya untuk terus sentiasa mempunyai hati yang bersemangat untuk melayani dan bertumbuh bersama-sama. Setiap saat saya bersama dengan mereka, perasaan takut itu diabaikan dalam nama Tuhan Yesus, dan tumpuan saya adalah sentiasa kepada tujuan asal kami mengikuti trip ini.

Sesungguhnya, pengalaman ini menjadikan saya lebih matang dalam pelayanan dan menjadikan saya lebih bersemangat untuk melayani. Akhir kata, saya harap agar kehidupan kita sentiasa diberkati dan sekali lagi saya ingin tekankan bahawa,


Serahkanlah segala kekuatiranmu kepada-Nya, sebab Ia yang memelihara kamu. (1 Petrus 5:7)


Immanuel.

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page