top of page

With God, I Am Able


Next Gen 2022 merupakan satu fasa transformasi karakter yang paling signifikan dalam kehidupan remaja saya. Berbanding dengan program kerohanian yang saya sertai sebelum ini, saya rasa proses pematangan rohani saya sepanjang Next Gen ini lebih mencabar.

Sebelum Next Gen, saya kurang yakin dan kurang kerelaan untuk memimpin doa, apatah lagi untuk memberitakan kasih Tuhan kepada orang yang tidak saya kenal. Saya juga tidak suka menyandang jawatan dalam barisan kepimpinan kerana saya sering kali berasa tidak layak. Saya berpandangan bahawa tugas-tugas tersebut adalah sukar dan saya belum cukup berpengetahuan. Jelas di sini bahawa diri saya yang dahulu, mengandalkan kekuatan diri sendiri dalam pelayanan.


Tetapi sepanjang Next Gen, saya menyaksikan bagaimana Tuhan memakai dan menggerakkan peserta-peserta senior dengan sangat hebat. Saya kagum apabila melihat karakter, kesungguhan dan penyerahan diri mereka untuk melayani Tuhan. Luaran nampak biasa-biasa, tetapi apabila mereka melakukan apa-apa perkara dalam nama Tuhan. Wau! Sangat luar biasa.


Bukan itu sahaja, melalui slot-slot yang saya sertai sepanjang Pra-Next Gen, saya diperingatkan untuk sentiasa mengutamakan Tuhan di dalam hidup dan mengundang Roh Kudus untuk memenuhi saya, terutama dalam pelayanan.


Penyertaan Tuhan apabila saya menyerahkan diri sepenuhnya, terbukti jelas dalam banyak situasi iaitu, semasa saya mendoakan sebuah keluarga yang kami kunjungi, semasa saya berkongsi kasih Tuhan kepada anak-anak muda, semasa saya melayani sebagai pemimpin pujian, semasa saya menjadi fasilitator bagi sekumpulan peserta konferensi, dan banyak lagi. Sesungguhnya, Tuhanlah yang memampukan saya sehingga berhasil dalam tugas-tugas yang diberikan.


Pengajaran dan teguran Tuhan untuk saya sepanjang Next Gen ini, menjadikan saya lebih rela hati untuk menyerahkan segala aspek hidup ke dalam tangan Tuhan, baik dalam hal yang kecil mahupun yang besar. Bahkan tawaran kemasukan ke universiti pun saya serahkan sepenuhnya kepada Tuhan. Meskipun bercanggah dengan keinginan peribadi saya, saya tahu tetapi rancangan Tuhan untuk saya, semua itu dapat saya jalani kerana Tuhan yang memberikan saya kekuatan. Rancangan Tuhanlah yang terbaik. Di mana Tuhan perlukan pelayanan saya, di situ saya setia bekerja. Selepas Next Gen, saya akui hidup saya lebih tenang dan stabil kerana setiap hari saya membuat keputusan untuk menyerahkan perancangan dan hari saya ke dalam tangan Tuhan. Saya lebih gagah menjalani kehidupan kerana saya yakin Tuhan sedang bekerja. Dia tidak akan mengecewakan saya kerana Dia Bapa yang setia. Saya bersedia untuk terus dipakai Tuhan dalam apa sahaja pelayanan.


-Kleff-

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page