top of page

You Are The Chosen



Kali ini merupakan lawatan kedua saya ke kampung yang tidak dikenali. Seperti yang telah ketahui, setiap tempat mempunyai kisah dan perjalanan cerita yang tersendiri. Cabaran yang saya hadapi pada kali ini ialah ramai kanak-kanak di setiap kampung yang kami lawati berbanding dengan remaja dan golongan yang sudah berumur. Kampung X tidak sampai 10 orang remaja di kawasan tersebut. Saya dan rakan-rakan saya sangat gembira untuk melayani kanak-kanak di setiap kampung walaupun agak penat. Kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada menerima Berita Baik yang kami sampaikan kepada mereka untuk dikongsikan kepada ibu bapa mereka yang masih belum percaya. Buktinya, terdapat seorang kanak-kanak yang bersekolah minggu telah berjaya mengajar keluarganya berdoa sebelum makan. Berita ini sangat mengembirakan kerana anak-anak mampu memimpin keluarga mereka untuk berdoa dan sedikit demi sedikit membawa keluarganya menerima peribadi istimewa ini dalam diri mereka.

Namun begitu, saya lebih menekankan golongan remaja di setiap kampung yang saya lawati. Hal ini demikian kerana mereka diumpamakan batu permata yang akan membawa sinar kepada ibu bapa malahan kepada orang yang berada di sekeliling mereka termasuk rakan mereka. Golongan remaja lebih mudah mempengaruhi dan memberikan nasihat kepada kedua-dua ibu bapa mereka berbanding dengan orang lain. Bukan itu sahaja, batu permata remaja ini mudah pecah sekiranya tidak dijaga dan digilap setiap masa. Lebih-lebih lagi, apabila golongan ini keluar daripada kawasan kampung mereka untuk bekerja atau belajar. Bukan itu sahaja, saya merasakan saya sebagai remaja mudah untuk terbuka dan mendekati remaja kerana kami boleh berkongsi kisah yang sama dengan mereka. Semasa saya pergi ke kampung O, banyak masalah yang mereka alami termasuklah buang sekolah, dibuli oleh rakan sekelas dan masalah kewangan. Di sekolah, kanak-kanak ini merupakan golongan minoriti dan mudah dibuli oleh mereka. Pada awalnya, saya bertanyakan tentang harapan masa depan tetapi mereka tidak tahu. Golongan remaja yang sepatutnya mempunyai masa depan yang indah tetapi terkubur begitu sahaja. Setelah saya menceritakan ada harapan dalam hidup mereka, mereka terus bersemangat dan akan meneruskan kehidupan mereka walaupun tidak bersekolah lagi. Golongan remaja yang saya kenali telah datang ke malam KKR dan terbuka mengundang peribadi istimewa dalam hidup mereka.

Pada hari pertama kunjungan kasih ke Kampung Y, saya tidak menjumpai seorang pun remaja di kampung tersebut. Namun begitu, tidak menghalang saya untuk memberitakan Berita Baik kepada orang yang bukan remaja dan ramai orang di Kampung Y telah mengundang peribadi istimewa ini dalam kehidupan mereka selepas ini. Tiba-tiba, saya telah menjumpai seorang remaja perempuan duduk bersendirian di rumah yang terakhir sebelum balik. Pada mulanya, saya hanya mendekati sekadar berkenalan sahaja sebab saya sudah tahu bahawa dia anak kepada jemaat yang setia di situ. Perbualan kami sudah semakin mendalam apabila saya mulai menunjukkan kad 4 simbol itu kepada dia. Selepas saya menyampaikan Berita Baik, dia masih ragu-ragu dan kurang percaya akan peribadi istimewa ini yang akan memberikan kehidupan yang kekal kepada dia. Akhirnya, dia pun menjadi orang percaya dan bukannya hanya mengikuti ibunya yang setia melayani. Buktinya, dia dan ibunya sentiasa bersemangat bersama-sama membantu dan memberitakan Berita Baik dengan kami di setiap kampung yang kami lawati.

Hari yang seterusnya di kampung yang sama, saya terus bersemangat untuk mencari golongan remaja yang akan menjadi batu loncatan kepada orang di sekelilingnya. Namun begitu, saya tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan Berita Baik kepada semua penduduk di situ. Semangat saya untuk para remaja di kampung tersebut sentiasa berkobar-kobar. Sebelum saya balik, saya terjumpa dengan sekumpulan remaja lelaki yang sedang lepak di pondok kecil. Ketika itu, saya terus berundur dan bercakap dalam hati, “Adakah saya patut pergi Tuhan sebab saya perempuan dan tidak sesuai memberitakan Berita Baik ini kepada mereka”. Pada masa itu, saya hanya tinggal beberapa minit sahaja sebelum balik malahan ada jemaat yang ingin menjemput kami makan. Perasaan saya pada ketika itu bercampur-baur antara menyerah, serba salah dan putus asa sehingga suara kecil mengatakan, “Pergilah, selamatkanlah mereka”. Dengan ini, saya terus bersemangat untuk mengenali mereka dan menyampai Berita Baik kepada mereka kerana masih belum percaya sebab mereka mengikuti kepercayaan ibu bapa. Akhirnya, mereka telah percaya dan mengundang peribadi istimewa ini dalam diri mereka. Mereka juga bertanyakan kepada saya tentang doa tidur, makan, bangun dan sebagainya dan akan sedaya upaya membawa keluarga mereka menerima peribadi ini dalam hidup mereka.

Akhir sekali, begitu juga dengan peribadi istimewa ini telah mengguna pakai golongan remaja walaupun muda untuk memberitakan Berita Baik kepada orang di sekeliling malahan kepada seluruh dunia. Ingatlah bahawa jangan mengganggap diri kita lemah walaupun kita muda dan teruslah menjadi “role model” kepada orang disekeliling kita dengan perkataan dan tingkah laku. Maka, kehidupan kita akan sentiasa diberkati dan lebih ramai jiwa akan menerima peribadi istimewa ini dalam kehidupan mereka kini dan selama-lamanya.

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page